Berita Hari Ini

Peniaga perlu faham GST sebelum pengguna

GST tax

KUALA LUMPUR – [VIDEO] Kerajaan perlu memastikan golongan peniaga khususnya pengusaha kecil dan sederhana (PKS) memahami tentang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terlebih dahulu sebelum dilaksanakan pada tahun depan.

Presiden Persatuan Penjaja Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Mahdzir Jaafar mendakwa, kebanyakan peniaga khususnya yang berada di bandar masih keliru dan tidak memahami mekanisme pelaksanaan GST.

“Kalau boleh biarlah golongan peniaga kena faham dulu supaya seiring dengan kehendak kerajaan untuk mengenakan cukai baharu itu.

“Kami hanya tahu tentang GST ini melalui media malah kadang-kala maklumat itu tidak sampai sebab itu ramai peniaga masih tak faham,” katanya kepada Sinar Harian Online, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wee Ka Siong kelmarin yang mahu program penerangan mengenai GST diperhebatkan bagi memastikan usahawan dan peniaga tempatan memahaminya sebelum ia dilaksanakan pada April 2015.

Dalam pada itu, Mahdzir memberi jaminan pelaksanaan GST itu tidak akan menyebabkan kenaikan harga barangan mendadak khususnya di Jalan TAR kerana kebanyakan peniaga di situ tidak mahu kehilangan pelanggan setia mereka.

“Harga barangan akan lebih murah disebabkan saingan sengit ini, bagi saya kenaikan harga itu kurang tepat kerana peniaga sendiri menjual pada harga yang cukup istimewa supaya kekal menjadi tumpuan.

“Kalau peniaga ambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan, mereka sebenarnya akan ketinggalan disebabkan tiada orang hendak masuk kedai dia,” katanya lagi.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");