Jenayah

Nahas: Pelajar Usim dirawat di Hospital Selayang

NILAI – Enam pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) termasuk dua pemandu bas, mangsa kemalangan di Jalan Sungai Tua, Ulu Yam, Selangor petang semalam berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Selayang.

Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Usim, Dr Faizal Kasmani berkata, 18 pelajar lain menerima rawatan pesakit luar di hospital sama dan dibenarkan pulang.

“Pihak universiti berasa sedih dan dukacita dengan kejadian ini. Kami telah berhubung dengan ibu bapa pelajar yang terbabit bagi memastikan mereka mendapat maklumat terkini mengenai anak masing-masing,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datuk Dr Mohamed Asin Dollah dan Pendaftar universiti, Muhammad Haizuan Rozali mewakili pihak pengurusan USIM bersama lebih 30 pegawai universiti dan wakil pelajar berada di hospital malam tadi, bagi membantu dan memberi sokongan kepada mangsa dan keluarga.

“Pihak universiti juga menyediakan pegawai perubatan USIM untuk rawatan lanjutan kepada pelajar yang dibenarkan pulang ke kampus bagi memastikan mereka dalam keadaan sihat,” katanya.

Faizal berkata demikian ketika mengulas nahas bas yang membawa 24 pelajar Usim dan dua pemandu yang terbabas ke bahu jalan selepas menuruni bukit di Jalan Sungai Tua, Ulu Yam, berdekatan Empangan Batu pada 6.30 petang semalam, menyebabkan beberapa pelajar dan pemandu bas mengalami kecederaan.

Pelajar Usim itu sedang dalam perjalanan pulang ke kampus Usim di Nilai setelah mengikuti Kursus Pengurusan Kelab Debat di Rimba Kalong Eco Resort, Ulu Yam.

Beliau berkata pihak universiti berasa bersyukur kerana para pelajar yang terlibat dalam kejadian ini selamat dan tidak melibatkan kehilangan nyawa.

“Pihak universiti juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pasukan perubatan hospital, bomba, polis dan pihak yang membantu para pelajar semasa ditempat kejadian dan semasa mendapat rawatan.

“Usim menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan punca sebenar kejadian kemalangan dan tindakan susulan akan diambil pihak universiti setelah siasatan pihak polis selesai bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang
di masa hadapan,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");