Sukan Hari Ini

Pencapaian Harimau Malaya penentu kedudukan Dollah

PENCAPAIAN skuad Harimau Malaya pada perlawanan Piala AFF Suzuki 2014 mungkin jadi penentu kedudukan Ketua Jurulatih skuad itu, Dollah Salleh dalam pasukan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah baginda mahu melihat kejayaan pasukan kendalian Dollah pada perlawanan yang diadakan di Singapura dan Vietnam bermula 22 November hingga 20 Disember ini.

“Kita mahukan kejayaan kali ini, kalau tidak ada kejayaan mungkin kedudukan Dollah Salleh akan diambil kira juga.

Diharap jurulatih Dollah Salleh dapat memastikan pasukan cukup bersedia …tidak kira pemain muda atau lama. Kecergasan dan fokus pemain perlu ditekankan,” titah baginda selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bola Piala Asia 2015 di Hotel JW Marriot di Kuala Lumpur hari ini.

Malaysia berdepan laluan sukar pada Piala AFF Suzuki apabila diundi bersama juara bertahan Singapura dan juara tiga kali Thailand dalam kumpulan B.

Sementara itu Tengku Abdullah bertitah FAM akan menilai semula program skuad Harimau Muda A yang menunjukkan prestasi merosot pada Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.

“Kita perlu mempelbagaikan program peringkat akar umbi ini, itu paling penting. Penampilan skuad Harimau Muda A di Sukan Asia memperlihatkan kelemahan pihak jurulatih dan pemain itu sendiri.

“Kita akan kaji semula program pasukan menjalani latihan ke luar negara sama ada berbaloi atau tidak? Tetapi program pembangunan perlu diteruskan dan kita mesti ‘melabur’. Namun kita perlu akui juga ada pasukan Harimau Muda A menunjukkan peningkatan, pendedahan itu bagus untuk mereka,” titah baginda.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee gagal mencapai sasaran ke suku akhir Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan selepas tersingkir awal pada perlawanan peringkat kumpulan.

Baginda turut mengulas cadangan segelintir pihak persatuan bola sepak negeri supaya membubarkan skuad Harimau Muda A dengan membenarkan pemain beraksi dengan negeri atau kelab masing-masing.

“Itu satu keputusan yang beta akan kaji (membubarkan skuad Harimau Muda A).

Kita bagi kebebasan atau keadaan menang-menang…kita juga mahu memberikan pemain pendedahan di luar negara.

Kita akan kaji perkara ini dengan mendalam serta mengambil kira baik dan buruk sama ada Harimau Muda A dilepaskan ataupun tidak,” titah Baginda. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");