Sukan Hari Ini

Runtuh Tembok!

KUALA LUMPUR: Tembok yang memisahkan Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) harus diruntuhkan jika hendak berjaya dalam apa jua program pembangunan sukan termasuk Sistem Data Program Pembangunan Bakat Sukan Akar Umbi Kebangsaan (MyTID).

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, segala program akan dapat dilaksanakan jika semua pihak meninggalkan cara lama, sebaliknya bekerjasama seperti dilakukan ketika menubuhkan Pelan Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

“Begitu juga dengan MyTID kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah memberi kepercayaan besar kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan ISN,” katanya selepas melancarkan program berkenaan di Dewan Perdana ISN, semalam.

Jelasnya, jika ada yang masih lagi mengamalkan kaedah lama, program MyTID tidak akan berjaya dan peruntukan RM34 juta akan menjadi sia-saia.

“Kita tidak akan dapat lagi peluang seperti ini. MyTID satu peluang buat pelajar dari tahun satu untuk menggunakan segala kemudahan sedia ada. Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) bukan dari segi berapa ramai yang sudah menjalani program ini, tapi jumlah atlet pelapis negara hasil daripada usaha ini.

“Bukannya berlaku masalah antara MSN dan ISN sebelum ini, tapi penyelarasan antara kedua-dua badan ini kurang jelas,” katanya.

Khairy berkata, MyTID yang mendapat kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menjadi langkah terbaik untuk mengesan bakat sukan dari peringkat akar umbi dengan maklumat secara sistematik mengenai kebolehan fizikal serta psikologi pelajar seawal usia tujuh tahun.

“Kita akan uji semua pelajar tahun satu. Sebelum ini kita menguji antara 20,000 hingga 30,000 pelajar, tapi selepas ini kita menjangkakan jumlah itu meningkat kepada 500,000.

“Tahun depan kita mensasarkan untuk menguji 100,000 pelajar untuk dibawa masuk ke Pusat Multilateral yang akan ditubuhkan di setiap daerah.

“Perlu ada kesinambungan daripada pelajar yang disaring sehinggalah mereka diserapkan ke pusat pembangunan pelapis yang dikendalikan MSN,” katanya.

Program MyTID membabitkan beberapa agensi kerajaan seperti KPM, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Luar Bandar, Yayasan Kebajikan Atlet (YAKEB) dan KBS.

Antara proses dilakukan merangkumi komponen antropometri seperti ketinggian, berat dan saiz badan, selain itu disaring dengan ujian fleksibiliti, daya tahan otot, kepantasan, kuasa dan daya tahan kardiovaskular.

Tahun depan 100,000 pelajar dari 1,500 sekolah akan disaring pada tahun pertama dengan jangkaan 20 peratus dipilih ke peringkat seterusnya. Jumlah ini dijangka meningkat setiap tahun dengan sasaran 500,000 pelajar dari 7,000 sekolah hingga 2019.
-hmetro-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");