Berita Hari Ini

50,000 mohon, Kemas Kini BR1M

KOTA BHARU : Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kelantan mengesahkan kira-kira 50,000 permohonan baru dan kemas kini Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) 3.0 diterima sejak 10 hari ia dibuka.

Pengarahnya, Mohamad Zain Mohamad Said berkata, secara purata, dalam sehari, pihaknya menerima kira-kira 5,000 permohonan secara online dan manual di kaunter LHDN sejak 1 Disember lalu.

“Kita amatlah menggalakkan orang ramai mengisi permohonan BR1M secara online di rumah, namun kita tetap menerima semakan borang yang diisi secara menual di kaunter pejabat ini.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti bagi pemohon BR1M semasa mengisi borang termasuk ramai yang tidak mengisinya dengan betul, maklumat bertindan dan nombor akaun bank tidak tetap,” katanya kepada Sinar Harian di pekarangan pejabat LHDN Negeri, di sini, semalam.

Mohamad Zain berkata, jumlah permohonan BR1M di negeri ini adalah antara tiga tertinggi di negara ini selain Sabah dan Sarawak.

“Memandangkan banyak permohonan diterima, kita menjangkakan lebih ramai yang akan memohon secara online dan manual sehingga akhir Disember ini, jadi kita tidak mahu ada banyak kesilapan semasa mereka mengisi borang.

“Mereka yang belum mengisi bantuan BR1M ini, sama ada permohonan baru dan kemas kini, mereka bolehkan berbuat demikian sehingga 31 Disember nanti dan jika perlu hadir ke kaunter, hari terakhirnya sehingga jam 5.30 petang,” katanya.

Beliau menasihatkan pemohon supaya segera membuat permohonan baharu dan kemas kini bagi mengelak kesesakan talian dan manual di pejabat pada saat akhir hingga penghujung tahun ini.

“Bagi mereka yang menerima surat dari LHDN yang meminta pemohon mengemas kini borang, mereka perlulah segera terus ke pejabat LHDN atau mengisinya melalui talian internet.

“BR1M pada kali ini akan dibayar dengan tiga kali bayaran, jadi jika terdapat sebarang masalah, proses rayuan akan bertambah lama dan boleh menyukarkan pemohon jika tersalah isi borang,” katanya.

Beliau menasihatkan pemohon yang berhajat ke kaunter LHDN untuk membuat permohonan secara manual perlulah membawa salinan kad pengenalan pemohon, pewaris dan salinan akaun bank bagi memudahkan urusan.

-sinarharian-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");