Laporan Eksklusif

Tiru Korea maju negara

Seoul: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat Malaysia mencontohi semangat kental orang Korea yang berjaya memajukan negara melalui naluri kelangsungan hidup yang kuat untuk berjaya.

Beliau berkata naluri kelangsungan hidup itu mendorong orang Korea untuk berjaya, ditambah dengan usaha yang benar-benar fokus, menjadikan Korea Selatan maju sehingga menjadi kuasa ekonomi pada masa ini.

“Sebagai sebuah negara tak ada sumber, iklim yang sejuk, sudah tentu kalau mereka tak dapat cari sumber kekayaan dengan guna akal fikiran dan seluruh pancaindera mereka, sudah tentu mereka jadi mangsa persekitaran yang begitu ‘hostile’ kepada mereka,” katanya semasa berucap pada majlis jamuan bersama rakyat Malaysia di Korea Selatan di sini, malam kelmarin.

Jamuan malam itu dihoskan Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Najib sedang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Korea Selatan.

Ketika menceritakan rahsia kejayaan Korea, Perdana Menteri berkata, selepas perang Korea dari tahun 1950 hingga 1953, Korea Selatan adalah antara negara termiskin dunia dengan pendapatan per kapita pada masa itu hanya AS$67.

Namun, katanya, dalam masa singkat, mereka telah melakukan transformasi yang begitu ketara sehingga pada hari ini menjadi kuasa ekonomi yang semakin disegani.

“Sudah tentu model kejayaan Korea adalah satu daripada kejayaan yang menjadi inspirasi bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi juga kepada dunia pada keseluruhannya,” katanya.

Disiplin ketat yang ditanam dalam jiwa orang Korea sejak kecil turut menjadikan sebahagian daripada orang Korea juara dunia termasuk dalam sukan golf.

Perdana Menteri menegaskan kerajaan meneruskan Dasar Pandang ke Timur gelombang kedua dengan menghantar pelajar ke Korea Selatan, bukan sahaja untuk menimba ilmu, tetapi untuk mempelajari budaya hidup dan nilai positif orang Korea untuk memajukan negara.

“Bukan sahaja untuk ilmu, kerana anda boleh menimba ilmu di mana-mana sahaja di dunia, tetapi kami mahu anda mempunyai komitmen, mempunyai semangat untuk berjaya mengatasi apa jua rintangan, inilah yang kami harap anda dapat pelajari semasa berada di Korea,” katanya.

Perdana Menteri turut berharap rakyat Malaysia akan bersedia untuk bertugas dalam waktu kerja yang panjang seperti masyarakat Korea yang bekerja purata 2,256 jam setahun, lebih tinggi daripada purata 1,739 jam Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan. – BERNAMA

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");