Berita Hari Ini

Balu Terharu Terima Pengiktirafan Tertinggi untuk Allahyarham suami

KUALA LUMPUR: Balu kepada antara perwira yang paling dikenang dalam sejarah 69 Komando, Allahyarham Asisten Superintendan Mohd Zabri Abdul Hamid terharu apabila mengetahui pengorbanan suaminya mendapat pengiktirafan tertinggi dalam senarai keutamaan Anugerah Persekutuan di sini, hari ini.

Mohd Zabri menerima gelaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP).

Che Manis Abdullah, 69, berkata anugerah itu sedikit sebanyak mengubati kesedihan akibat kehilangan suami seawal usia 30 tahun, selepas Mohd Zabri terpijak jerangkap samar ketika sedang bertugas pada tahun 1975.

Beliau berkata, ketika itu mereka baharu saja 10 tahun berkahwin dan dikurniakan tiga anak iaitu Ahmad Badrul Hisham berusia lapan tahun (kini 48), Ahmad Badri Shah, tujuh (meninggal pada usia 33) dan Haniza Wati, lima tahun (kini 44).

“Hari suami meninggal, saya sedang mengajar di Sekolah Inggeris di Pulau Pinang, tapi diminta untuk ke Markas 69 Komando di Ulu Kinta (Perak). Tidak diberitahu kenapa perlu ke sana, melainkan disuruh menunggu helikopter (yang membawa jenazah Mohd Zabri) di padang.

“Di padang, baharu dimaklumkan suami sudah tiada. Waktu itu hujan selebat-lebatnya dan saya tidak dapat melihat jenazah suami dibawa turun, sebaliknya hanya dapat melihat jenazah suami di rumah,” katanya kepada BERNAMA selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2014 di Istana Negara, di sini.

Dalam istiadat hari ini, Che Manis mewakili suaminya menerima anugerah itu daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Turut berangkat pada istiadat itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Che Manis berkata, beliau bersyukur kerana mempunyai pekerjaan bagi menampung perbelanjaan anak-anak selain turut menerima pampasan dan bantuan daripada kerajaan, sebagai menghargai jasa suaminya.

“Cuma sedih mengenangkan anak tidak berpeluang membesar dengan suami, terutamanya yang bongsu. Apabila mereka bertanyakan tentang ayah, saya menunjukkan gambar-gambar lama yang ada dalam simpanan.

“Yang bongsu tidak banyak gambar bersama ayahnya. Ada sekali, apabila melihat anggota polis berkawad, dia berlari dan memeluk kaki seorang daripada anggota sambil menjerit ayah sehingga saya yang malu,” katanya.

Sementara itu, Rosiah Dahlan, 53, balu kepada Allahyarham Asisten Komisioner Ibrahim Lebar yang terkorban dalam insiden pencerobohan Lahad Datu berkata beliau sebak kerana pengorbanan arwah masih diiktiraf, meskipun peristiwa berdarah itu sudah setahun lebih berlalu.

“Kami sekeluarga sudah lama reda dan menerima ketentuan ini. Malah kami sekeluarga juga baharu pulang daripada menunaikan haji pada 28 Oktober lalu dan tujuan utama kami ke sana adalah untuk menenangkan diri,” katanya.

Ibu bapa kepada Koperal Mohd Azrul Tukiran yang turut terkorban dalam insiden Lahad Datu, Tukiran Ahmad, 63, dan Saadiah Md Amin, 62, pula berterima kasih atas penganugerahan itu dan berharap ia dapat membakar semangat anggota polis untuk berjuang mempertahankan negara.

Dalam istiadat itu, Ibrahim dan Mohd Azrul menerima anugerah Panglima Gagah Berani

-BHOnline

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");