Jenayah

Misteri Mayat Berbungkus

BUTTERWORTH: Kegiatan jenayah yang dikaitkan dengan etnik Rohingya ini membawa kepada misteri penemuan mayat dalam keadaan seperti sudah dikafankan yang ditinggalkan di tempat umum sama ada di tepi jalan atau berhampiran medan selera, selain di dalam longkang.
Ia dikatakan cara mudah untuk melupuskan mayat warga asing termasuk masyarakat Rohingya yang cuba mencari perlindungan di negara ini, tetapi malangnya menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan pemerasan.
Sepanjang tahun ini saja, sekurang-kurang lima kes dikesan menggunakan kaedah pelupusan mangsa seperti sudah dikafankan di temui di negeri ini.
Mendedahkan perkara itu, ketua komuniti masyarakat Rohingya di negeri ini, Noorul Islam Yusof Jalal, 62, berkata, pihaknya percaya jumlah kes serupa itu mungkin lebih banyak.
“Namun ia tiada di dalam rekod pihak berkuasa kerana dalam kebanyakan kes polis mengklasifikasikan kes seumpama ini sebagai mati mengejut,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Menurutnya, amat menyedihkan kerana etnik Rohingya sendiri yang disyaki terbabit di sebalik penemuan mayat di tepi jalan itu termasuk melakukan perbuatan kejam ini ke atas rakan sebangsa dan seagama mereka.
“Apa yang menyedihkan, ia angkara darah daging kami sendiri dan mereka sanggup menzalimi saudara sebangsa semata-mata mahu mengejar kekayaan dengan cara mudah.
“Mungkin nilai kemanusiaan sudah hilang dari dalam jiwa mereka, nyawa dianggap tidak lagi ada harga apabila jenazah saudara sendiri dicampak begitu saja di tepi jalan seumpama bangkai haiwan.
Noorul Islam yang sudah 28 tahun menetap di Malaysia kerap menjadi tempat rujukan dari beberapa hospital awam di negeri ini bagi menguruskan mayat yang dilupuskan.
Menurutnya, selain menjadi mangsa pemerdagangan manusia, masyarakat Rohingya yang menetap di negara ini dan berjaya dalam bidang perniagaan turut diancam kumpulan penculik yang mahu mendapatkan wang tebusan.
“Saya pernah menerima maklumat mengenai kes penculikan dan wang tebusan diminta membabitkan jumlah antara RM10,000 dan RM50,000. Malangnya, selepas bayaran dibuat kumpulan penculik terbabit membunuh mangsa.
“Itu adalah antara perbuatan tidak berhati perut kumpulan berkenaan dan bagi yang bernasib baik, mayat mereka ditemui semula. Namun, ada yang tidak mempunyai kubur kerana sehingga ke hari ini jasad mereka tidak ditemui,” katanya.
Sehingga kini, Noorul Islam sudah menguruskan pengebumian lebih 100 mayat pelarian Rohingya, sejak lima tahun lalu selepas dihubungi pihak hospital berikutan gagal menghubungi waris mayat terbabit.
-hmetro-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");