Perak Hari Ini
Like

Jasa, Pengorbanan Mejar Zainal Diiktiraf

January 24, 2015
1334 Views
0 Comments
3 minutes read
Jasa, Pengorbanan Mejar Zainal Diiktiraf

PANTAI REMIS: Sebuah catatan dan papan tanda khas dibina bagi memperingati jasa dan pengorbanan Pahlawan Negara, Allahyarham Mejar Zainal Abdul Rashid yang gugur ketika berjuang dalam Operasi Gubir pada 15 Julai 1976.

Allahyarham telah dianugerahkan pingat kepahlawanan tertinggi negara iaitu Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) pada 1 Jun 1977 atas jasa dan pengorbanannya ketika berkhidmat dalam pasukan tentera.

PERAK TODAY 5 (3)

Allahyarham gugur ketika berjuang dalam pertempuran dengan penganas komunis di kawasan Hutan Simpan Hulu Muda, Gubir dekat Kedah selepas berjaya membunuh enam orang musuh dalam operasi tersebut.

Menurut Pegawai Memerintah 17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Leftenan Kolonel Khairul Anuar Soib, projek catatan warisan sejarah itu berupaya merealisasikan dan mengembalikan sifat-sifat kepahlawanan anggota tentera yang telah gugur suatu masa untuk memerdekakan bumi Malaysia bagi tatapan semua pihak.

PERAK TODAY 1 (6)

“Projek warisan kali ini mengetengahkan kepahlawanan Mejar Zainal Rashid pada suatu ketika dahulu,” katanya.

Ujarnya lagi, ia juga bertujuan membina jati diri buat generasi akan datang serta mengetahui sifat kepahlawanan yang kini menjadi lipatan sejarah.

Sementara itu, menurut anak tunggal Allahyarham, Mohd Hazem Shah Zainal, beliau sekeluarga begitu menghargai pelaksanaan projek tersebut.

“Tanda warisan sejarah ini menjadi peringatan buat semua untuk memahami bahawa kemerdekaan hari ini adalah hasil perjuangan pahlawan terutamanya yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Hazem turut menyeru kepada anak muda supaya kembali mengingati sejarah terdahulu kerana kesenangan dan kemudahan dikecapi hari ini adalah hasil perjuangan mereka yang sanggup berkorban bagi mempertahankannya.

“Semasa Allahyarham terkorban, saya baru sahaja berusia tiga dan selepas itu, saya, ibu dan adik terlibat dengan kemalangan sebelum saya dijaga oleh datuk dan nenek di Pantai Remis,” jelasnya.

PERAK TODAY 2 (4)

Sementara itu juga, menurut Pengerusi Persatuan Kebajikan Veteran 17 RMD, Azri Jaafar, projek itu berjaya dilaksanakan dengan penglibatan persatuan dengan kerjasama Batalion 17 Askar Melayu Diraja.

“Semoga langkah warisan sejarah ini dapat mengembalikan semula semangat patriotik dalam kalangan generasi muda hari ini,” katanya.

Tambahnya lagi, nikmat kesenangan dan keamanan hari ini hasil darah yang mengalir dan nyawa pasukan keselamatan yang terkorban sebelum ini.

Tambahnya lagi, usaha memperbanyakkan catatan warisan sejarah RMD perlu terus diperluaskan termasuklah dengan membongkar sejarah perjuangan askar terdahulu.

“Selain itu, sambutan ulangtahun KOR RMD yang diadakan saban tahun itu juga perlu dipelbagaikan dengan penganjuran program membersihkan perkuburan pahlawan atau majlis tahlil khusus buat mereka yang terkorban,” jelasnya.

Azri turun menyarankan agar usaha menamakan jalan sempena nama pahlawan terdahulu diteruskan dan diselenggara dengan baik oleh pihak yang berkenaan.

Komen & Pendapat

Leave a Reply