Perak Hari Ini

“Negara Islam Bukan Satu Matlamat Tetapi Satu Kaedah”: Sultan Perak

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam titahnya memperingati semua agar menjadikan keperibadian, kebijaksanaan Rasulluah SAW sebagai teladan dalam setiap perbuatan dan tindakan dalam meneruskan kehidupan serta pentadbiran kini.

Titah baginda lagi, negara Islam bukannya satu matlamat atau tidak terbentuk sekadar menamakannya sebagai negara Islam, tetapi adalah satu kaedah untuk mewujudkan satu sistem pemerintahan yang melakukan amal makruf dan menegah kemungkaran.

Baginda bertitah demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak yang bertemakan ‘perpaduan nadi transformasi negara’ di Ipoh hari ini.

Jelas Baginda lagi, Negara Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW dahulu mengutamakan keadilan iaitu merupakan faktor yang akan menentukan rasa hormat dan penerimaan rakyat kepada pemimpin dan sifat adil yang diamalkan oleh Rasulullah SAW tidak hanya dinikmati oleh umat Islam malah keadilan dipastikan turut dinikmati oleh bukan Islam.

Tambah baginda lagi, masyarakat bukan Islam pada ketika itu juga turut diberi jaminan perlindungan keselamatan, kebebasan menganut agama, dijamin boleh mengamalkan budaya masing-masing, dijamin hak untuk melakukan pelbagai kegiatan ekonomi dan usaha-usaha pembangunan sosial melalui pendekatan Perlembagaan Madinah.

“Umat Islam tidak dihalang malah dibolehkan menghulurkan bantuan untuk memperbaiki gereja dan biara penganut Kristian; dan perbuatan demikian tidak dihukum secara melulu telah menggelincirkan akidah umat Islam.

Jelasnya lagi, Rasulullah SAW telah memberikan mesej jelas bahawa Islam adalah agama yang harmonis, agama yang mengutamakan hubungan persaudaraan, agama yang mementingkan elemen kasih sayang.

“Islam menganjurkan wujudnya hubungan kasih sayang antara Yang Maha Pencipta dengan makhluk yang dicipta, dan hubungan kasih sayang sesama makhluk ciptaan ILAHI.

Titahnya lagi di sepanjang hayat, Baginda Rasulluah SAW senantiasa mempamerkan sifat kasih mengasihani sesama insan, menghormati perbezaan pegangan agama dan amalan budaya,memilih menggunakan pendekatan diplomasi dalam menyelesaikan konflik serta percanggahan pendapat sesama ummah dan antara ummah.

“Baginda meninggalkan contoh teladan yang amat wajib dijadikan ikutan terutama ketika ummah ketika ini kelihatan semakin kabur pandangan dan semakin tersasar haluan serta, Islam yang Baginda amalkan berjaya meletakkan Islam sebagai agama yang disenangi dan mahu didampingi dan bukan Islam yang ditakuti dan mahu dijauhi,” titahnya.

Tambah Baginda lagi, melalui hikmah kebijaksanaan pemimpin terdahulu, elemen-elemen yang pelbagai itu berjaya digabung dan dicantumkan hingga terbinanya sebuah negara Malaysia, merdeka lagi berdaulat, aman lagi tenteram, makmur lagi sejahtera.

“Bumi Malaysia telah sekalian lama dikurniakan nikmat ILAHI dengan keamanan dan ketenteraman, kemakmuran dan kesejahteraan, kekayaan hasil bumi dan terlindung daripada bencana besar dan malapetaka dan Negara ini berlatarbelakang persekitaran yang warganya telah berjaya mencapai kata muafakat untuk hidup dalam semangat toleransi, menghormati perbezaan dan menerima kelainan,” katanya.

Tambah Nazrin, semangat permuafakatan yang telah dipupuk dan dicapai oleh barisan pemimpin kita ketika membentuk sebuah negara merdeka yang berdaulat hendaklah terus dihormati.

“Sebarang tuntutan – sebarang perbuatan yang bercanggah dengan semangat permuafakatan tersebut, wajib ditentang demi memastikan kelangsungan kedaulatan sebuah negara merdeka yang warganya menerima dan menghormati perbezaan, hidup berpadu, rukun lagi damai,

“Bersyukurlah atas nikmat kurniaan ILAHI kepada bumi dan negara kita selama ini, semoga ia berkekalan dengan setiap kita berusaha untuk tidak melakukan perbuatan yang menunjukkan penderhakaan terhadap Allah SWT dengan setiap kita berusaha untuk tidak menengkari Sunah Rasul,” tegas baginda lagi.

PERAK TODAY 6

Sementara itu, lima anugerah turut disampaikan dalam sambutan kali ini iaitu Anugerah Keluarga Mithali diberikan kepada Toh Maharaja Indera Datuk Khairuddin Arshad; Anugerah Pendakwah, Mohamed Arib Aliah; Anugerah Pegawai Masjid, Allahyarham Ahmad Isa (wakil); Anugerah Siak,  Sarbini Jemu dan Anugerah Penguatkuasa Agama diterima oleh Mohd Nasir Harun.

Kesemua penerima membawa pulang wang tunai RM5,000.00, cenderahati dan sijil penghargaan.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");