Perak Hari Ini

Koperasi Negeri Perak Mampu Jadi Contoh Di Malaysia

IPOH: Gabungan enam buah koperasi dalam sektor pelaburan hartanah yang dibangunkan oleh Team Keris Berhad (TKB) mampu menjadi model kepada negara lain untuk membangunkan bidang perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, usaha yang dilakukan oleh pihak koperasi berkenaan seharusnya dijadikan ‘role model’.

“Kita lihat, perkongsian dalam konteks koperasi dapat menjana pendapatan ekonomi dan ia bergantung kepada falsafah ekonomi itu sendiri iaitu satu untuk semua.

“Contohnya melalui persefahaman yang dilakukan hari ini, gabungan tersebut boleh dijadikan contoh kepada koperasi lain bukan hanya di peringkat dalam negara, tetapi juga negara luar.

“Setakat ini, kita dapat melihat banyak kejayaan yang dicapai koperasi di negara ini termasuklah di negeri Perak itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis menandatangani perjanjian jual beli kedai pejabat di pejabat Team Keris Berhad di sini, hari ini.

Beliau berkata, koperasi juga menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara ini.

“Suatu hari nanti koperasi mampu menjadi sektor terbesar yang menyumbang kepada KDNK.

“Pada hari ini, kita dapat melihat koperasi-koperasi yang ada dalam negeri Perak khususnya sebanyak 1,197 koperasi yang mempunyai peringkat tertentu dalam bidang perniagaan.

“Mungkin suatu hari nanti, koperasi juga mampu menjadi entiti kekuatan khususnya kepada ekonomi komersial di dalam negara,”katanya lagi.

Tambahnya, kerajaan negeri akan sentiasa memantau tidak kira di peringkat  koperasi, jabatan atau di pihak TKB sendiri bagi mengenalpasti ilmu serta falsafah yang perlu digarap dalam bentuk kebersamaan.

“Ini perlu dilakukan supaya koperasi berkenaan akan menjadi mercu tanda kepada koperasi-koperasi yang ada di dalam negeri Perak,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Naib Presiden TKB, Anuar Abu Hassan berkata, usaha yang dilakukan pada hari ini adalah untuk menyahut seruan kerajaan berkenaan penglibatan Bumiputera dalam sektor hartanah.

” Majlis hari ini adalah untuk meraikan kejayaan kumpulan koperasi ini dalam membuat pelaburan hartanah bagi meningkatkan kewangan koperasi bagi kebaikan ahli-ahlinya.

“Ini merupakan inisiatif berterusan yang dilakukan oleh TKB dalam meningkatkan pemilikan hartanah di kalangan masyarakat Bumiputera.

“Ia sejajar dengan saranan yang dibuat oleh kerajaan iaitu harga yang berpatutan ditawarkan kepada masyarakat Bumiputera dalam urusan hartanah kerana kita telah memberikan diskaun khas sehingga mencecah 21 peratus kepada mereka,” kata beliau.

Sebanyak enam buah kumpulan koperasi Perak telah menandatangai perjanjian jual beli kedai pejabat Jelapang Sq iaitu projek pembangunan oleh Team Keris Berhad.

Antara koperasi yang terlibat adalah Koperasi Dato’ Hj. Abu Bakar Kinta Berhad, Koperasi Usahanita Perak Berhad, Koperasi Gayong Warisan Perak Berhad, Koperasi Permodalan Pesara Pendidikan Negeri Perak Berhad, Koperasi Perkim Perak Berhad dan Koperasi Keluarga Anjang Budiman Taiping Berhad.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");