Perak Hari Ini

Kerajaan Rancang Penempatan Semula, Atasi Sekolah Kekurangan Pelajar

IPOH: Kerajaan bersedia untuk membuat penempatan semula bagi sekolah yang mempunyai bilangan pelajar yang kurang ke satu lokasi yang baharu.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata, penempatan itu akan dilakukan daripada sekolah di kawasan ladang ke bandar sekiranya berhadapan masalah tersebut.

Katanya, Perak merupakan negeri yang mempunyai jumlah Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) terbanyak iaitu sekitar 134 buah sekolah dan kebanyakannya mempunyai bilangan murid yang kurang.

“Sekiranya sekolah yang mengalami kekurangan murid ini, mereka perlu dipindahkan ke tapak sekolah yang baharu di kawasan bandar atau sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan Khas Timbalan Menteri Pendidikan II Bersama Guru Besar dan Penolong Kanan (Pentadbiran) SJK (T) Negeri Perak di sini, hari ini.

Ujarnya, cadangan perpindahan sekolah tersebut hanya boleh dilakukan sekiranya mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa.

“Jika penurunan murid amat ketara, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan membuat pantauan serta unjuran yang mana apabila ia sampai ke tahap yang paling rendah, perpindahan perlu dibuat.

“Setakat ini, cuma ada 10 buah sekolah telah dikenalpasti mengalami unjuran menurun termasuk Sekolah Kebangsaan (SK), SJK (Cina) dan SJK (T) dan penempatan semula akan dibuat oleh pihak yang berkenaan dalam masa terdekat ini,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Kamalanathan berkata, kerjasama daripada pelbagai pihak adalah sangat penting untuk membangunkan sekolah.

“Kerjasama diantara kementerian, jabatan dan orang ramai adalah sangat penting untuk membangunkan sekolah untuk memastikan sekolah baharu, penyelenggaraan dan sebagainya dapat dilakukan,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan komited dalam membantu menambah baik infrastruktur SJK (T) di negara ini khususnya di negeri Perak.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar kerana banyak membantu dalam proses menambah baik infrastruktur bagi SJKT di seluruh negeri Perak,” kata beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");