Berita Hari Ini

Malaysia mampu tawar perkhidmatan halal

XI’AN – CHINA. Malaysia boleh menawarkan perkhidmatan halal yang diiktiraf dunia yang lengkap membabitkan pengeluaran dan pemprosesan makanan kepada keberkesanan produk halal, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau memberitahu Seminar Halal sempena Minggu Halal Malaysia-Xi’an 2015 di Muslim Street di sini, hari ini yang Malaysia sebagai negara Islam yang progresif telah meletakkan industri halal sebagai satu daripada kelebihan kompetitif ekonomi untuk diperkembang di arena global.

“Malaysia telah meningkatkan rantaian nilai kepada teknologi tinggi di samping aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

“Malaysia juga percaya semua pihak akan mendapat faedah daripada industri halal kerana faktor halal adalah isu penting untuk kira-kira 1.8 bilion orang Islam.

“Industri halal global dianggar bernilai US$$2.3 trilion dalam merentasi kepentingan keagamaan masyarakat Islam kepada penerimaan oleh pengguna bukan Islam,” tambahnya.

Minggu Halal Malaysia-Xi’an 2015 yang bermula Ahad lepas akan berakhir 31 Mei ini. Xi’an adalah ibu negeri wilayah Shaanxi dengan kira-kira 72,000 penduduk Islam.

Lebih daripada 100 ahli perniagaan dari wilayah Shaanxi, jawatankuasa keagamaan Shaanxi, komuniti perniagaan Islam Xi’an dan ahli perniagaan Malaysia menghadiri seminar sehari berkenaan.

Di antara mereka ialah Ketua Pentadbir Jawatankuasa Keagamaan Shaanxi, Zhang Ninggong.

Ismail Sabri berkata, nilai kecantikan dan sejarah Xi’an adalah antara sebab Malaysia memutuskan untuk meneruskan Minggu Halal Malaysia-Xi’an untuk tahun keempat berturut-turut.

Ini adalah kali pertama Seminar Halal itu dianjur sempena Minggu Halal.

Pegawai Malaysia yang membentangkan kertas kerja di seminar itu ialah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Hiliran, Dr Mohamad Razli Razak dan Kaunselor Pertanian di Kedutaan Malaysia di Beijing, Aszmy Mahmood Yusof Mohamed.

Di antara 350 produk makanan yang dieksport Malaysia ke Xi’an ialah makanan ringan, jus, kordial, makanan sejuk beku, madu dan makanan segera.

Ismail Sabri adalah dalam lawatan kerja sembilan hari ke China sehingga Ahad ini untuk mempromosi produk halal di Xi’an, Chengdu, Suining, Fujian, Shenzen dan Hong Kong.

Delegasi itu termasuk pegawai kanan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu. – Bernama

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");