Jenayah

Peniaga rugi lebih RM150,000 diperdaya sindiket

MELAKA – Seorang peniaga kerugian kira-kira RM153,800 akibat diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pihak bank.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superitendan Ee Khong Koy berkata lelaki berusia 54 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mendakwa dari pihak bank dan menyatakan mangsa mempunyai hutang kad kredit berjumlah RM3,000 pada 6 Mei lepas.

Beliau berkata panggilan yang dilakukan antara mangsa dan suspek berkenaan kemudian disambungkan pada satu talian lain yang mendakwa dari pihak Bank Negara.

“Dalam perbualan itu, suspek kedua yang merupakan seorang lelaki mendakwa wakil Bank Negara dan menasihatkan mangsa memindahkan wang simpanan dalam akaunnya ke dalam satu akaun lain milik seorang lelaki tempatan.

“Suspek berkenaan mendakwa tujuan pemindahan berkenaan adalah untuk keselamatan wang simpanan mangsa,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini hari ini.

Ee berkata mangsa dari Taman Merdeka di sini kemudian melakukan pemindahan wang simpanannya sebanyak RM153,800 ke akaun yang diberikan suspek.

Katanya pemindahan tersebut melibatkan dua kali transaksi iaitu RM73,800 dan RM80,000 pada 8 Mei dan 11 Mei lepas.

Beliau berkata mangsa kemudian memaklumkan perkara tersebut pada rakannya sebelum menyedari telah ditipu sindiket tersebut selepas melakukan transaksi terakhir pada 11 Mei lepas.

“Mangsa membuat laporan polis pada hari sama menyedarinya dirinya ditipu,” katanya.

Beliau berkata polis kini sedang menjejaki pemilik akuan yang digunakan untuk memindahkan wang simpanan mangsa.

Sehubungan itu, katanya orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati sekiranya menerima panggilan daripada pihak bank terutama yang mendakwa dari Bank Negara kerana dikhuatiri anggota sindiket penipuan berkenaan.

Beliau berkata mereka seharusnya merujuk dan menyiasat panggilan tersebut dengan pihak bank sebelum melakukan sebarang transaksi terutama kepada akaun milik individu lain.

Dalam pada itu, Ee berkata sebanyak lapan kes penipuan seperti itu atau dikenali sebagai ‘penipuan Macau’ membabitkan kerugian lebih RM190,000 dikesan untuk tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding 35 kes dengan jumlah kerugian lebih RM590,000 dalam tempoh sama tahun lepas. – Bernama

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");