Berita Hari Ini

Beri pingat saja tidak cukup

SEREMBAN – Kerajaan diminta mempertimbangkan pemberian saguhati kepada pesara polis yang menerima pingat bakti keberanian Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusi Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) Negeri Sembilan, Datuk Kamaruzaman Itam berkata, saguhati berbentuk wang tunai adalah lebih bermakna kepada penerima, lebih-lebih lagi mereka yang uzur.

Ini kerana, katanya, rata-rata penerima pingat ini terdiri daripada mereka yang sudah tamat perkhidmatan dan keupayaan semakin kurang.

“Pada pandangan saya, pemberian pingat saja tak cukup, sebaliknya mereka perlu diraikan dengan sedikit pemberian wang saguhati.

“Kebanyakan penerima terdiri daripada mereka yang sudah uzur, tak larat lagi nak berjalan dan ada juga diberikan kepada balu berikutan suaminya telah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, bagi balu penerima pingat itu pula, ia sekadar menerima sesuatu untuk kenangan semata-mata.

“Pingat itu sekadar barang perhiasan yang akhirnya akan disimpan dalam almari, tapi kalau mereka diberi sedikit wang saguhati, sudah pasti mereka dapat membeli barang keperluan harian.

“Kita yakin dengan pemberian wang tunai itu nanti akan lebih mengembirakan penerima, selain penganugerahan pingat,” katanya di sini.

Kamaruzaman bagaimanapun berkata, kenyataannya itu bukan bermakna Respa mengenakan demand terhadap bekas anggota polis, sebaliknya hanya mewakili hasrat mereka yang sebelum ini pernah menerima penganugerahan tersebut.

“Apa pun, kita bersyukur dan berterima kasih kepada PDRM kerana sudi memberi penganugerahan kepada mereka yang telah banyak berjasa terhadap agama, bangsa dan negara.

“Sesungguhnya jasa dan pengorbanan mereka tidak boleh dinilai dengan wang ringgit, tetapi kita amat berbesar hati jika pemberian saguhati itu menjadi salah satu hadiah kepada mereka yang dianugerahkan pingat,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");