Jenayah

Kena tipu syarikat kereta terpakai

KLANG – Setelah hampir dua tahun, lebih 100 pemilik kenderaan mewah mendakwa gagal mendapatkan semula kenderaan mereka yang dijual secara online kepada sebuah syarikat kenderaan terpakai beroperasi di Kuala Lumpur.

Mereka mendakwa, bukan sahaja gagal mendapat wang hasil jualan kenderaan bahkan terpaksa membuat bayaran bulanan kepada bank kerana khuatir nama akan disenaraihitamkan.

Salah seorang mangsa, Wan Nurikhwani Wan Rosli, 27, berkata, dia membuat iklan menjual kereta Toyota Viosnya menerusi sebuah laman web dengan harga RM68,000.

“Saya gembira apabila seorang jurujual mewakili sebuah syarikat kenderaan terpakai menghubungi saya dan memaklumkan syarikatnya ingin membeli kereta itu dengan harga RM69,000.

“Memikirkan saya akan dapat untung RM1,000, jadi saya pun jual kereta kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, dia kesal apabila sehingga kini syarikat itu gagal melunaskan bayaran kereta RM68,000 kepadanya sebaliknya hanya menyerahkan wang RM1,000.

“Jurujual tu kata kereta dah dibeli, tapi semuanya terbongkar bila bank hubungi saya beberapa kali suruh lunaskan bayaran tunggakan.

“Bahkan duit hasil jualan kereta sampai sekarang saya tak dapat. Setelah disyaki kena tipu saya buat laporan polis,” katanya kepada media dalam pertemuan dengan beberapa mangsa lain dengan Sukarelawan Sosial, Peter Tan untuk mengadukan perkara itu di Klang Executive Club (KEC), di sini, semalam.

Wan Nurikhwani menambah, apa yang menghairankan, walaupun telah membuat laporan sebanyak tiga kali, namun pihak polis masih belum dapat menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya nak dapatkan kereta saya semula dan dah macam-macam usaha dibuat untuk mengesannya,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Arthur Wong, 41, berkata, risau namanya disenarai hitam, dia terpaksa membuat bayaran kepada bank berjumlah RM17,600 bagi tempoh lapan bulan untuk kereta Toyota Alphard.

“Saya dihubungi bank memaklumkan bayaran bulanan kereta sebanyak RM2,200 atas nama syarikat saya belum dibuat.

“Saya terpaksa bayar setiap bulan walaupun kereta saya tak tau berada di mana sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Peter Tan berkata, daripada jumlah lebih 120 kereta, 28 daripadanya sudah dijumpai.

“Pemilik syarikat kenderaan terpakai yang berpangkat datuk sudah ditahan polis, namun kenapa kes kehilangan lebih 100 kereta belum berjaya diselesaikan hingga kini.

“Saya harap pihak polis bersikap telus dalam menyiasat dan menyelesaikan kes ini yang membabitkan penipuan jual beli kereta,” katanya.

Terdahulu, sidang media yang sama turut dilakukan melibatkan hampir 10 pemilik kereta yang ditipu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");