Isu Panas

Pasma punca ahli pilih ulama

KUALA TERENGGANU – Pemimpin Pas Terengganu mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Sejahtera Ummah Malaysia (Pasma) yang dilihat sebagai salah satu faktor membakar semangat perwakilan untuk mengukuhkan kepimpinan ulama dalam Pas.

Pesuruhjayanya, Satiful Bahri Mamat berkata, selain sikap pemimpin DAP yang suka menyerang Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau menjelaskan sama ada DAP atau Pasma, kedua-dua faktor itu dilihat sebagai tindak balas perwakilan dalam menyatakan sikap pada pemilihan Pas yang baharu sahaja berakhir.

Menurutnya, respons itu bukan sahaja diberi di peringkat kepimpinan Pas Pusat, malah turut mempengaruhi kesemua dewan yang memperlihatkan pemilihan pemimpin yang mampu menguatkan kepimpinan ulama dalam Pas.

“Paling penting, Pasma yang seolah-olah diwujudkan untuk timbul keretakan dalam Pas menyebabkan kebanyakan ahli kembali kepada dasar yang boleh pandu parti ke arah yang betul.

“Kita nampak kepimpinan parti yang dipilih, mereka yang pro Pasma tidak diberi kepercayaan untuk memimpin,” katanya.

Kata beliau, perwakilan diam tetapi mereka mengambil sikap kontra terhadap apa yang diambil DAP.

Tindakan Pasma dan DAP merupakan tindak balas dalam kalangan perwakilan untuk membersihkan kepimpinan Pas daripada pengaruh luar.

“Jadi terima kasihlah kepada Pasma sebab membulatkan tekad perwakilan untuk memilih pemimpin yang berdiri atas dasar perjuangan Pas,” katanya.

Satiful Bahri yang juga Adun Paka turut mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan terdahulu dan barisan kepimpinan yang baharu diberi kepercayaan perwakilan untuk menentukan hala tuju parti pada penggal 2015-2017.

Jelasnya, secara keseluruhan pemilihan kali ini memperlihatkan perwakilan memilih pemimpin yang senada dengan presiden sama ada di peringkat Pas Pusat dan Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat.

Beliau memberitahu, dengan pasukan yang dilihat seiring ini, Pas akan lebih kukuh dari segi prinsip dan dasar parti serta yakin perwakilan tidak akan didedah dengan unsur luar yang tidak berdasarkan landasan perjuangan Pas.

“Ini menunjukkan ahli belum bersedia membuka Pas kepada lebih liberal sebaliknya tetap atas dasar Islam dan amanah untuk laksanakan dasar Islam,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");