Berita Hari Ini

PR dakwa penemuan kem, tanda kegagalan negara

SHAH ALAM – Ketua Biro Antarabangsa PKR, Gooi Hsiao Leung menyifatkan penemuan kem-kem termasuk transit pemerdagangan manusia di Lubuk Sireh merupakan satu pengabaian besar dan kegagalan kerajaan dalam memerangi pemerdagangan manusia serta menjamin keselamatan sempadan.

Menurutnya, sejak empat tahun lalu Malaysia telah diletakkan dalam kategori pemerhatian Tier-2 Laporan Pemerdagangan Manusia Jabatan Negara Amerika Syarikat (TIP).

“Manakala, tujuh tahun lalu Malaysia juga disenarai hitam tiga kali di kategori Tier-3 iaitu sebagai pesalah yang paling teruk dalam perdagangan manusia.

“Begitu juga, sejak 2009, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah melaporkan penglibatan pihak berkuasa Imigresen Malaysia dalam pemerdagangan pelarian Burma dari pusat tahanan imigresen ke sempadan Thailand-Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Justeru, katanya, tidak mengejutkan apabila laporan tahun lalu Malaysia telah dikritik kerana gagal melaporkan maklumat mengenai apa-apa penyiasatan, pendakwaan dan sabitan mengenai kakitangan kerajaan yang bersubahat dalam pemerdagangan manusia.

“Dengan rekod yang seumpama itu, Malaysia telah menubuhkan Majlis Pencegahan Pemerdagangan pada 2008, yang diketuai Kementerian Dalam Negeri dan pelan tindakan lima tahun (2010-2015) memerangi pemerdagangan manusia yang mengandungi sembilan matlamat strategik, satu daripadanya adalah untuk mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang di negara kita.

“Adakah semua inisiatif ini yang dilancarkan oleh kerajaan itu terbukti dalam memerangi pemerdagangan manusia, khususnya dalam menangkap dan mendakwa pegawai-pegawai penguat kuasa undang-undang tempatan berasuah bekerjasama dengan sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan kita?,” katanya.

Dalam pada itu, Hsiao Leung sekali lagi menegaskan bahawa suruhanjaya siasatan diraja perlu segera ditubuhkan untuk menyiasat kem kematian pemerdagangan manusia dan kegagalan kerajaan untuk menjamin keselamatan sempadan negara bertahun-tahun lamanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");