Sukan Hari Ini

Ujian sebenar Speedy Tigers

DALAM tempoh kurang dua minggu sahaja lagi, skuad hoki negara bakal berdepan saingan sebenar, merebut tempat ke Sukan Olimpik Rio di Brazil, tahun depan.

The Speedy Tigers akan bersaing dalam pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di Belgium bermula 20 Jun nanti.

Pasukan hoki negara diundi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah, Belgium, Ireland, China dan Great Britain sementara Kumpulan A pula dihuni Australia, India, Poland, Perancis dan Pakistan.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) melalui pucuk pimpinan baharu juga sebulat suara untuk tidak mengganggu persiapan hoki negara.

Malah, MHC melalui Presiden baharunya, Datuk Seri Subahan Kamal terus mengekalkan Tai Beng Hai selaku ketua jurulatih skuad hoki senior negara.

Kini, 18 pemain sudah dipilih untuk menggalas tugas berat bagi memastikan negara mendapat satu daripada empat tiket ke Sukan Olimpik.

Tidak mudah sebenarnya tugas Speedy Tigers kerana negara yang bertanding bukan calang-calang pasukan.

Bagaimanapun, Beng Hai tetap yakin dengan kemampuan pemain yang dipilihnya.

Begitu juga dengan pemain, mereka mempunyai motivasi yang tinggi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

Semangat kekeluargaan dalam diri skuad hoki negara juga menjadi rencah berguna untuk mereka bersaing dalam pusingan separuh akhir itu nanti.

Persiapan terakhir

Pada ketika ini, skuad hoki negara sedang melakukan persiapan terakhir sebelum berangkat ke Belgium pada 14 atau 15 Jun nanti.

Mereka tidak mengenal erti penat lelah dalam memastikan misi negara tercapai.

Menurut Beng Hai, latihan yang dijalankan amat penting bagi menambah keserasian di kalangan pemain.

“Fokus kami pada sesi latihan adalah untuk memastikan pemain melakukan persiapan rapi dalam setiap aspek.

“Latihan ini juga adalah sebagai persiapan bagi memastikan pemain dapat menyerap tekanan yang hebat dalam kejohanan itu nanti,” katanya.

Sebelum ini, Speedy Tigers sudah melalui beberapa siri aksi persahabatan antaranya di Australia, Belanda dan Belgium.

Cuma, langkah Malaysia dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah, baru-baru ini, sedikit longlai.

Mereka mengakhiri kejohanan itu di tangga tercorot sedangkan sebelum ini anak buat Beng Hai menjuarai pusingan kedua WHL di Singapura, Januari lalu.

Beng Hai menjelaskan, pemainnya mendapat satu pengajaran berguna selepas berakhirnya kejohanan tersebut.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");