Berita Hari Ini

60% lebih selamat jika pakai tali pinggang keledar

KUALA LUMPUR – Keselamatan nyawa pengguna jalan raya terjamin 60 peratus apabila mereka memakai tali pinggang keledar, demikian menurut kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Ketua Pengarahnya Prof Dr Wong Shaw Voon berkata penggunaan alat keselamatan itu berkesan mengurangkan risiko kematian dan berfungsi menahan penumpang agar tidak tercampak keluar dari kenderaan mereka apabila terdapat momentum yang menghentak kuat semasa kemalangan.

“Kecederaan parah sehingga mengakibatkan kematian biasanya berlaku disebabkan penumpang mengalami hentakan kuat dan tercampak dari posisi asal mereka.

“Konsep penggunaan taling pinggang keledar sama juga dengan pemakaian topi keledar bagi pengguna motosikal,” katanya kepada Bernama.

Sejumlah 20,257 kemalangan dan 155 kematian direkod di seluruh negara dalam tempoh tujuh hari pertama ‘Ops Selamat 7’ yang dilancarkan pada 10 Julai lalu dan mencatat purata jumlah kematian lebih tinggi iaitu 22 orang sehari berbanding 13 kematian dalam tempoh sama tahun lepas.

Daripada jumlah tersebut, dilaporkan penunggang dan pembonceng motosikal merupakan bilangan terbesar yang maut dengan 94 kes manakala kereta sebanyak 35 kes.

Shaw Voon berkata sikap orang ramai yang menganggap pemakaian tali pinggang keledar sebagai hal yang remeh adalah penyumbang utama kepada peningkatan kadar kematian akibat kemalangan.

“Paling mengecewakan apabila pelbagai alasan diberikan termasuk merasa rimas atau perjalanan hanya dekat sahaja, sedangkan untuk memakai tali pinggang keledar atau topi keledar hanya mengambil masa beberapa saat sahaja,” katanya.

Beliau berkata ada juga pengguna menganggap beg udara di dalam kereta sudah memadai untuk mengurangkan impak ketika kemalangan, sedangkan peralatan itu juga perlu digunakan bersama alat keselamatan utama iaitu tali pinggang keledar.

“Hentakan kuat mengakibatkan beg udara mudah pecah sebab itulah pemandu dan penumpang hadapan perlu memakai tali pinggang keledar kerana ia mampu menghalang hentaman kuat kepada beg udara tersebut,” tegasnya.

Menyedari kepentingan dan keberkesanan pemakaian tali pinggang keledar dalam mengurangkan risiko kematian semasa kemalangan, peraturan penggunaan tali pinggang keledar tempat duduk belakang turut dikuatkuasakan pada 1 Jan 2009 melalui Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan 2008) mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");