Membawang Hari Ini

Bukan sekadar syok sendiri

Lewat ini, semakin menebal persepsi liar yang mendakwa generasi baru dalam dunia hiburan termasuk dalam kalangan penyanyi dan penulis lagu tempatan adalah kelompok syok sendiri dalam berkarya.

Semakin ramai bakat baru muncul, lebih kerap stigma itu diperkatakan dan tidak terkecuali penyanyi-penulis lagu duo dikenali Hani & Zue yang turut terkena tempiasnya.

Mengakui kesahihan persepsi yang timbul, Hani atau Nor Hanisah Hasan, 21, berkata, dia berharap masyarakat bersikap lebih terbuka dalam memberikan peluang kepada bakat pelapis seperti mereka.

“Persepsi itu yang kami mahu buang dan ubah. Memang sejak kami menjadi artis rakaman, perkara itu tidak dapat dielakkan dan ia seperti jadi satu fakta pula sedangkan tidak semua penyanyi-penulis lagu yang baru bersikap begitu.

“Saya tidak mahu ulas mengenai penggiat lain, tetapi untuk muzik Hani & Zue, kami tidak menyertai bidang muzik sekadar syok sendiri dan main-main. Kualiti (karya) dan kelainan yang kami tititkberatkan,” katanya.

Sampuk Zue atau Zuliana Mohd Eusoff, 21, hanya dengan pakej muzik yang berkualiti dan tersendiri saja, ia akan meletakkan duo itu pada zon tersendiri.

“Pada saya, muzik adalah seni yang tidak boleh dibuat main-main. Penghasilan lagu dan muzik perlu ada makna dan mesej. Saya dan Hani tidak percaya pada konsep berkarya secara tangkap muat atau asal boleh saja.

“Tetapi mahu puaskan hati semua pihak bukan perkara mudah, pasti ada yang suka dan tidak kurang juga yang menyampah dengan kita. Cuma, setidak-tidaknya kalau kita menjaga kerja, karya yang dihasilkan itu jadi arkib yang berkualiti walaupun ada yang tidak suka,” katanya.

Tidak serius berkarya

Hani yang berkelulusan Diploma Perniagaan dari Universiti Teknologi MARA, Shah Alam berkata, dia tidak boleh menolak pandangan itu timbul disebabkan sikap sambil lewa segelintir penggiat muzik muda sendiri.

“Benda macam ini kalau saya hendak ulas lanjut pun tidak sedap dan kurang sesuai sebab saya dan Zue sendiri orang baru. Tetapi itulah ada dalam kalangan penggiat muda ini yang berkarya ikut selera sendiri dan tangkap muat sehingga timbul pandangan sebegitu dalam masyarakat.

“Ada yang buat melodi dan lagu, tetapi apabila bab lirik langsung tidak ambil berat. Tidak peduli mengenai kisah lagu dan patah kata yang dihasilkan, asalkan dapat sambutan pendengar, jalan saja. Hal itu yang kami cukup jaga kerana pada saya tidak bererti kalau karya popular dan digilai ramai tapi isi ceritanya kosong,” katanya.

Menyambung perbualan, duo yang menjuarai pertandingan Projek EP Hot FM (PEPH) tahun lalu ini berkata, muzik dan lagu adalah medium seni yang bukan saja menghiburkan, malah mendidik masyarakat baik dalam melodi mahu pun bait lirik.

Justeru itu, jelas Zue, penggiat seperti mereka perlu bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh dengan bakat, peluang dan rezeki yang diberikan itu.

“Saya dan Hani menyertai bidang ini bukan untuk jadi pengikut trend atau dianggap bakat yang klise iaitu budak perempuan main gitar dan bertudung. Kami mahu diterima lebih besar daripada itu dengan keunikan kami sendiri menerusi lagu, penerbitan muzik berkualiti dan vokal harmoni kami.

“Saya percaya berdasarkan ciri-ciri itu boleh membantu menempatkan Hani & Zue pada kedudukan sendiri sebagai bakat pelapis,” katanya yang kini mengikuti pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Rekaan Multimedia di Taylor’s University.

Semakin dikenali ramai

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya muzik yang berusia setahun, duo ini mengakui kehadiran mereka semakin disedari di mata umum.

“Kalau saya atau Zue keluar di tempat awam sendirian atau kami berdua, orang sudah mula kenal dan tegur. Situasi itu menyeronokkan juga, tetapi pada masa sama, ia peringatan agar kami lebih berhati-hati dalam tindak-tanduk dan gerak-geri.

“Lebih teruja apabila lagu kami semakin dikenali dan jadi ikutan bukan saja peminat sebaya kami dan muda, malah golongan lebih dewasa juga. Alhamdulillah, walaupun kami masih baru peluang dan potensi untuk berkembang itu semakin cerah. Jadi saya dan Zue harap perjuangan muzik kami terus mendapat tempat di hati masyarakat,” luah Hani yang bersahabat dengan Zue sejak di sekolah menengah lagi.

Terbaru, Zue berkata, mereka bakal sibuk dengan beberapa aktviti promosi susulan pelancaran album sulung mereka berjudul Coretan Cinta pada Mei lalu.

“Sebelum ini, kami rehat sekejap pada Ramadan dan Aidilfitri lalu. Selepas ini, kami sibuk semula antara komitmen pengajian dan muzik.

“Pada 8, 9, 15 dan 16 September nanti, kami terbabit dalam promosi jelajah di Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Perak. Sekarang, lagu ketiga daripada album Memo Dari Sara semakin popular di radio,” katanya yang sebelum ini muncul dengan lagu Jauh dan Biar.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");