Jenayah

‘Pokok tumbang hempap saya’

KUALA TERENGGANU – “Saya sendiri tidak tahu bagaimana saya boleh mendapat tenaga ‘luar biasa’ untuk keluar dari rimbunan dahan pokok yang besar untuk menyelamatkan diri,” demikian cerita Nurul Nur Afiqah Mohamad, 14, mangsa ribut berserta hujan lebat yang melanda sekitar daerah ini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang di Kampung Manir, di sini, pelajar dari Sekolah Menengah Jeram, Manir, itu dihempap dahan pokok yang menyebabkan tulang bahu kirinya patah.

Menceritakan detik mencemaskan itu, anak ketiga daripada empat beradik ini berkata, sebelum kejadian, dia bersama adik beradiknya yang lain sedang membantu bapa mereka berniaga kuih penganan di gerai yang dibuka di bahu jalan berhampiran lokasi kejadian.

“Ketika sedang sibuk di gerai, tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi dentuman guruh berserta petir dan disusuli dengan angin kencang yang menerbangkan peralatan membuat kuih penganan milik ayah dan barangan jualan.

“Kejadian berlaku begitu pantas dan dalam keadaan kelam kabut, kami hanya terfikir untuk menyelamatkan diri ke tempat lebih selamat tapi semasa berlari, tiba-tiba sebatang pokok di tepi jalan tumbang lalu menghempap saya,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, hanya kematian bermain dalam fikirannya dan dua perkara yang tercetus dalam mindanya adalah, jika dia tidak mati dilanggar kereta, tentu dia mati dihempap dahan pokok yang besar.

Katanya, dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya tenaga ‘luar biasa’ yang membolehkan dia mengangkat dahan pokok besar itu secara bersendirian sebelum lari menyelamatkan diri ke bahu jalan.

“Mungkin kerana terlalu takut serta trauma, saya mampu angkat dahan pokok itu secara tiba-tiba. Hanya ALLAH SWT yang tahu apa perasaan saya ketika itu, lebih-lebih lagi setelah melihat kak long tersepit di celah pokok tumbang.

“Suasana sangat menakutkan ketika itu terutama dengan keadaan hujan lebat dan kilat sabung menyabung, ditambah pula dengan bunyi dentuman guruh yang kuat,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Nur Afiqah berasa sedih kerana gerai nganang milik ayahnya yang baru dibuka selama empat hari musnah dalam kejadian menakutkan itu.

“Mungkin tiada rezeki kami, tetapi insya-ALLAH selepas semuanya kembali pulih, saya tidak akan serik untuk membantu ayah di gerai kerana itulah punca pendapatan kami sekeluarga,” katanya.

Semalam, Sinar Harian ada melaporkan seorang jururawat nyaris maut selepas keretanya dihempap sebatang pokok dalam kejadian ribut berserta hujan lebat berhampiran Medan Selera Batu Buruk.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mohamad Kamil Othman berkata, kejadian ribut itu berlaku serentak di tujuh lokasi sekitar bandar Kuala Terengganu termasuklah di Batu Buruk, Jalan Cherong Lanjut, hadapan Stadium Hoki dan di dalam kawasan Istana Nur Nadhirah.

Selain itu, di daerah Dungun, bencana ribut yang melanda disifatkan sebagai luar biasa dan paling buruk pernah berlaku sehingga menyebabkan kerosakan membabitkan lebih 60 rumah.

Paling teruk adalah di Dun Sura dengan lebih 35 rumah di beberapa kampung termasuk Nibong, Padang Jambu, Tanah Lot, Sungai Buata dan Jalan Lembah, manakala lapan rumah di perumahan Flat Desa Keluarga, Kampung Bijangga turut rosak.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");