Berita Hari Ini

Dash: Azmin perlu dengar suara majoriti

SHAH ALAM – Lebih 20 persatuan penduduk yang merangkumi kawasan perumahan sepanjang Persiaran Mokhtar Dahari dan Damansara menubuhkan satu gerakan untuk menyokong pembinaan Damansara Shah Alam Highway (Dash).

Pengerusi yang baru dilantik, Jamalulkhair Khairedin berkata, pertubuhan yang dikenali sebagai Gerakan Sokong Dash atau(YestoDash Y2D) digerakkan bagi menunjukkan kepada Kerajaan Selangor bahawa majoriti penduduk menyokong pembinaan lebuh raya berkenaan.

Jamalulkhair dalam satu kenyataan kepada media berkata, sejak sekian lama penduduk di sepanjang persiaran Mokhtar Dahari dan beberapa kawasan di Damansara terseksa dengan kesesakan jalan seperti tiada penghujung.

“Kita sokong apa sahaja lebuh raya ataupun jalan yang dapat mengurangkan kesesakan penduduk. Kita sudah tidak sanggup setiap hari terpaksa berdepan dengan kesesakan yang merugikan dari segi kos minyak, produktiviti kerja dan masa bersama keluarga.

“Buat masa ini kita lihat tiada jalan alternatif terbaik selain Dash untuk menghubungkan antara Shah Alam dan Damansara,” katanya.

Tambahan pula kata Jamalulkhair, kepadatan penduduk di beberapa kawasan dan peningkatan jumlah kenderaan pasti akan merumitkan keadaan jika pembinaan Dash ditangguhkan.

“Kita harap Menteri Besar Selangor (Mohamed Azmin Ali) dapat dengar suara kami bahawa lebih ramai menyokong lebuh raya ini berbanding segelintir golongan yang membantah pembinaannya atas dasar peribadi.

“Kita juga tidak mahu kerajaan negeri tunduk dengan desakan golongan penentang Dash kerana apa yang kami ketahui, pihak konsesi lebuh raya sudah mematuhi setiap aspek yang wajib dalam pembinaan lebuh raya berkenaan. Golongan penentang tiada asas kukuh untuk menghalang projek berkenaan,” katanya.

Menurut Jamalulkhair, pihaknya sudah mengumpulkan petisyen sokongan dan setakat ini kira-kira 5,000 penduduk sudah menyatakan sokongan yang dibuat secara online.

“Kita harap semua penduduk yang menyokong suara kami dapat menzahirkan sokongan di Facebook Gerakan Sokong Dash supaya pembinaan dapat diteruskan kerana kita lihat Dash lebih banyak manfaat kepada masyarakat,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");