Jenayah

Empat suspek Geng Dobi ditahan

JOHOR BAHRU: Tiga lelaki dan seorang wanita dipercayai ahli kumpulan Geng Dobi dicekup dalam satu serbuan di sebuah rumah di Tampoi, di sini Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek berusia 23 hingga 30 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Usaha Jaya, di sini pada kira-kira jam 9.30 pagi.

Katanya, kumpulan berkenaan dipercayai aktif melakukan pecah masuk mesin tukaran wang di kedai mesin dobi automatik di sekitar daerah Johor Bahru Utara dan Iskandar Malaysia.

“Dalam serbuan berkenaan juga polis berjaya merampas beberapa barang kes yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam kegiatan jenayah tersebut termasuk dua buah motosikal.

“Hasil siasatan yang dijalankan, polis percaya masih ada saki baki ahli Geng Dobi yang masih bebas dan pihak polis akan terus menggiatkan usaha memburu saki baki suspek ini,” katanya selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, di sini, semalam.

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Katanya, penahanan tersebut pihaknya percaya berjaya menyelesaikan 24 kes pecah masuk mesin tukaran wang di kedai mesin dobi automatik di sekitar bandar raya ini.

“Ujian air kencing yang dijalankan ke atas semua suspek juga mendapati mereka positif dadah selain mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes curi kenderaan, pecah rumah dan dadah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamarul Zaman berkata, polis berjaya menahan tujuh suspek dipercayai terlibat dengan kes curi kenderaan dan pecah rumah dalam dua tangkapan berbeza di daerah Johor Bahru Utara dalam Ops Lejang yang digerakkan, baru-baru ini

“Dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai ahli kumpulan Geng Sarung Bantal masing-masing ditahan di Lebuh Raya Pasir Gudang pada pukul 5.20 pagi dan di Bandar Baru Uda pada pukul 1.30 petang.

“Baki lima lagi suspek berusia 21 hingga 31 tahun termasuk seorang wanita, ujar Kamarul Zaman ditahan Selasa lalu di sebuah rumah di Taman Damansara Alif,” katanya.

Katanya, dengan penahan kesemua suspek, polis percaya dapat menyelesaikan pelbagai kes melibatkan curi kereta dan pecah rumah di daerah ini.

“Kesemua suspek yang positif dadah mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan kes curi kenderaan, pecah rumah dan dadah. Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");