Membawang Hari Ini

Mustaqim cari semula tapak

Demi merealisasikan impian berjaya dalam bidang lakonan, Mustaqim Bahadon bukan saja sanggup bekerja keras bahkan tidak kisah bermula dari bawah.

Mula dikenali menerusi drama Lara Hati pada 2012, pelakon dan model tinggi lampai ini turut diberi peluang menjayakan beberapa karya termasuk Asmaradana.

Nama jejaka berusia 30 tahun ini kembali menjadi sebutan apabila wajahnya menghiasi drama bersiri popular, Hati Perempuan. Meskipun hanya memegang watak sampingan, kehadiran anak jati Perlis ini disedari penonton drama terbabit.

“Hati Perempuan mendapat maklum balas positif penonton. Popularitinya secara tidak langsung melonjakkan nama barisan pelakon termasuk saya.

“Alhamdulillah, rezeki saya semakin murah sejak drama itu bersiaran di TV3. Tawaran datang bersilih ganti.

“Drama Hidayahmu Ramadan yang ditayang­kan Ramadan lalu juga membawa tuah kepada saya apabila pengikut di Instagram meningkat puluhan ribu.

“Maklum balas positif ini petanda baik buat saya dan kenalah berusaha lebih keras selepas ini,” katanya.

Mengimbas pembabitan awalnya dalam industri seni tanah air, Mustaqim berkata dia mula ditawarkan berlakon selepas menyertai pertandingan Pencarian Lelaki Maskulin (PLM) 2008/2009.

“Ketika itu saya dapat banyak tawaran, namun disebabkan terikat dengan kerja tetap, terpaksa saya tolak.

“Dalam pada itu saya masih mengintai peluang. Sehinggalah satu masa, majikan minta saya berhenti dan fokus pada lakonan kerana dia tahu itu minat saya sejak dulu.

“Kebetulan orang sudah mula lupakan saya, jadi agak susah jugalah mahu bertapak,” katanya.

Mustaqim mengakui ketika itu timbul rasa kesal di hati apabila tidak menghargai peluang yang terbuka luas selepas PLM melabuhkan tirai.

Andai dia menerima tawaran yang datang, pasti laluannya tidak sesusah itu.

“Pun begitu, saya tidak boleh berputus asa. Saya percaya pasti ada hikmah di sebaliknya.

“Saya kembali bersemangat apabila percubaan menghadiri uji bakat sering berjaya walaupun sekadar watak kecil.

“Saya tidak pernah pilih watak, kecil atau besar ia tetap rezeki. Selepas tiga tahun, saya berpuas hati apabila berpeluang mencuba pelbagai watak,” katanya.

-http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");