Berita Hari Ini

Sekolah agama dinilai seiring keadaan semasa

SHAH ALAM – Kerajaan sentiasa memantau dan menilai kurikulum yang ditawarkan di semua sekolah agama di negara ini supaya seiring dengan keperluan semasa selain bagi mengekang fahaman ekstremis.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masing-masing mempunyai bahagian dan jawatankuasa khusus untuk melaksanakan tugas berkenaan.

“Jawatankuasa dan bahagian ini bertindak agar unsur ekstremisme dapat dikekang selain menyuburkan kurikulum yang ditawarkan dengan isu-isu semasa kerana rupa bentuk cabaran yang kita hadapi pada masa kini adalah berlainan dengan masa dahulu.

“Tetapi yang paling penting asas pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah tetap menjadi tunjang asas kepada pembentukan semua kurikulum bagi sekolah agama di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) Peringkat Kebangsaan Kali Kedua, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Haris Kasim.

Kontinjen Selangor menjadi juara keseluruhan MIISMAM kali ini apabila muncul johan dalam tujuh daripada 16 kategori yang dipertandingkan.

Mengulas tindakan sekolah-sekolah agama yang menggunakan pelajar mereka bagi tujuan mengutip derma pula, Asyraf Wajdi berkata hanya sekolah agama swasta yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.

“Bagaimanapun, Jakim melalui kerjasama jabatan-jabatan agama negeri akan mencari jalan penyelesaian bagi perkara berkenaan,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");