Sukan Hari Ini

Bilangan pemain mungkin ditambah

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempunyai senarai atlet yang akan dicalonkan ke Program Podium termasuk pemain perseorangan wanita berusia 15 tahun dan pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2015 Singapura, Goh Jin Wei.

Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen berkata, senarai berkenaan akan diberikan kepada Institut Sukan Negara (ISN) dan bakal diumumkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam masa terdekat.

“ISN akan mengawal program ini kerana ia untuk atlet berprestasi tinggi dan kita mencalonkan lapan pemain termasuk Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), Jin Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki), Vivian Khoo-Woon Khe Wei (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran),” katanya dalam sidang media di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, pengumuman atlet untuk tersenarai dalam program berkenaan sudah beberapa kali tertangguh namun Frost berkata ia tiada kena-mengena dengan pemain yang sudah melakukan tugasan di pihak mereka.

“Sekarang kami sudah menjalankan tugas kami iaitu mencalonkan, menyediakan laporan dan permohonan. Bagaimanapun, senarai ini boleh ditambah atau ditukar sebanyak mungkin.

“Pemain harus mencatatkan keputusan cemerlang termasuk mereka disenaraikan dalam program ini. Kita tidak mempunyai kriteria yang banyak atau wajib,” kata Frost sambil menjangkakan bilangan pemain badminton untuk program berkenaan mungkin bertambah.

Berdasarkan prestasi semasa, berkemungkinan bilangan atlet badminton untuk program berkenaan bertambah selepas prestasi cemerlang pemain perseorangan lelaki Chong Wei Feng mara ke separuh akhir Grand Prix (GP) Vietnam 2015 minggu lalu.

Pasangan beregu wanita Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho juga semakin meningkat naik apabila mereka meraih emas Sukan SEA Singapura dan mara ke suku akhir Kejohanan Dunia Jakarta bulan lalu.

Program Podium adalah perancangan penyediaan atlet terbaik dalam kalangan mereka yang terpilih merangkumi pemakanan, latihan, kemudahan, sains sukan dan kejurulatihan.

Di bawah Program Podium itu, atlet yang terpilih akan dilayan seperti bintang sukan dunia dengan semua keperluan fizikal mereka diuruskan sepenuhnya ISN.

-http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");