Perak Hari Ini

Ibu Masih Ragu Punca Kematian Anak

IPOH: Meskipun sudah enam tahun pemergian anaknya, seorang ibu masih meragui punca sebenar kematian anaknya.

Azizah Ismail 48, berkata, sehingga ke hari ini, beliau masih buntu memikirkan punca sebenar kematian anaknya yang berlaku pada 30 November 2009.

Cerita beliau, pada hari kejadian, anaknya pergi mengambil tunangnya di rumah seperti kebiasaan sebelum ke tempat kerja di Jelapang.

5 (8)

“Pada hari kejadian, saya berada di rumah, buat persiapan perkahwinan anak saya, Shairie Azizi Shaifol Bahri 21 (pada tahun 2009) dan telah menerima panggilan daripada tunang anak saya yang menyuruh saya ke wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Tunang dia cakap ‘Mak..pergi tengok along dekat hospital’. Bila saya pergi hospital, saya tengok anak saya terbakar.

“Saya tanya macam mana boleh terbakar, tapi tunang dia pesan ‘Mak jangan cerita dengan orang, nanti along malu’, pesan tunang anak saya berulang kali,”katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak, hari ini, di sini.

Azizah berkata, setibanya beliau di HRPB, beliau mendapati seluruh keluarga tunang anaknya berada di hospital termasuk kedua bakal besannya.

Menurut cerita dari bekas bakal menantunya, kejadian tersebut berlaku di The Store, Jalan Kampar sekitar jam 8.30 hingga 9 pagi hanya 20 hari sebelum majlis perkahwinan anaknya.

“Mustahil tiada orang yang saksikan kejadian tersebut,”tegas Azizah.

Katanya, anaknya tidak pernah bergaduh dengan tunangnya.

“Kalau selisih faham sikit-sikit pun, kejap sahaja. Tak ada gaduh apa-apa pun,”jelasnya.

2 (6)

Ceritanya lagi, anak ketiga beliau turut ke The Store tersebut untuk mengambil motorsikal arwah tetapi mendapati tiada sebarang kesan terbakar sama ada di hadapan dan dibelakang pusat membeli belah tersebut.

Keraguan tentang anaknya menyimbah dirinya dengan minyak petrol dan membakar diri sendiri timbul apabila beberapa barangan yang dipakai oleh arwah anaknya tidak terbakar.

“Mustahil kalau bakar diri sendiri. Tengok seluar, kasut dan beg anak saya. Kalau simbah (petrol), mesti sampai kaki.

“Saya tak tahu kenapa boleh jadi macam ni. Saya simpan perkara ni dari dulu sampai sekarang,”ceritanya.

Azizah turut berkata, suaminya, Shaifol Bahri Mat Misir turut meminta rakannya untuk ke stesen minyak yang berdekatan The Store Jalan Kampar untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk kepastian sama ada anaknya ada membeli petrol atau tidak, tetapi tidak dibenarkan.

1 (13)

Tambah Azizah lagi, anaknya telah meninggal dunia pada 3 Disember 2009 semasa proses pembedahan dijalankan dan laporan doktor turut mengesahkan anaknya meninggal akibat jangkitan kuman, kesan dari kebakaran tersebut.

Berdasarkan cerita Azizah, anaknya cuma mengalami kesan terbakar di bahagian depan badan dan sebahagian di belakang badan.

Azizah berkata, beliau selalu pergi menziarahi kubur anaknya dan sering berkata beliau gagal.

“Saya selalu ziarah kubur anak saya, saya cakap…’Along…mak gagal. Mak tak boleh tolong kamu…

“Saya minta, kalau boleh siasat, siasat semula kes ini. Kalau ada peguam yang sukarela nak tolong saya, tolonglah,”katanya.

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, orang yang ramai yang berada di tempat kejadian diminta tampil untuk memberikan maklumat.

“Sesiapa yang nampak kejadian tersebut pada masa dan tarikh kejadian, tolong tampil berikan maklumat.

“Kita sama-sama tolong mereka ini untuk mendapatkan kepastian,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");