Membawang Hari Ini

Misi Jamal bantu pendidikan anak Melayu

Nama Raja Pop Datuk Jamal Abdillah seringkali dikaitkan dengan konsert dan program amal.

Terbaru, penyanyi tersohor ini terpanggil menjayakan konsert Selembar Kasih dan Majlis Makan Malam Amal Muzik,Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Konsert anjuran Fakulti Muzik UiTM yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) pada 29 Oktober ini mempunyai misi mulia iaitu mengumpul dana untuk pembinaan dewan orkestra fakulti yang mencecah kos RM30 juta.

Jamal menzahirkan perasaan bangga dan terharu apabila diundang menjayakan konsert amal terbabit.

“Ia projek paling besar yang saya jayakan tahun ini. Saya tak mahu lepaskan peluang bekerjasama dengan Fakuliti Muzik UiTM yang pernah mengiringi persembahan saya di Istana Budaya sebelum ini.

“Ini juga sebagai sumbangan saya dalam membantu pendidikan dan masa depan anak Melayu. Malah, ada perancangan menghantar anak saya, Osama menyambung pengajian dalam bidang muzik di UiTM satu hari nanti,” katanya.

Bercerita lanjut konsep persembahannya, Jamal akan melakukan yang terbaik dan meninggalkan kenangan manis buat peminatnya.

“Saya akan pastikan persembahan itu nanti diingati peminat dan menjadi bukti mengapa saya mampu bertahan lama dalam industri muzik tanah air.

“Selain diiringi pemuzik ‘filharmonik’, saya akan menyampaikan rangkaian sembilan lagu popular termasuk tiga lagu secara medley dan satu solo.

Antaranya Aku Penghiburmu, Kau Lupa Janji, Ghazal Asmara, Ghazal Untuk Rabiah dan Samrah Mentari,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamal bakal muncul dengan dua single baru yang dijangka siap penghujung tahun ini.

“Kali ini saya memilih bekerjasama dengan LY yang pernah menghasilkan lagu untuk Dayang Nurfaizah dan Hafiz Suip.

“Saya belum pernah menggunakan khidmatnya dan berharap lagu ciptaannya itu diminati peminat.

“Buat masa ini, saya selesa muncul dengan single dan album penuh akan dihasilkan pada tahun depan.

“Saya juga bercadang menjalin kerjasama dengan komposer muda untuk album penuh nanti,” katanya.

Konsert amal gabung artis popular

Selain Jamal, Konsert Selembar Kasih dan Majlis Makan Malam Amal yang diiringi Orkestra Simfoni UiTM itu turut menampilkan penyanyi popular Dayang Nurfaizah, Syafinaz Selamat, Asmidar dan Ana Syuhada.

Lebih bermakna, konsert ini bakal dihadiri tetamu kehormat iaitu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Penjualan meja yang memuatkan 10 tetamu iaitu Meja Diamond berharga RM200,000, Meja Ruby (RM100,000), Meja Sapphire (RM50,000), Meja Topaz (RM20,000), Meja Emerald (RM10,000) dan Meja Amber (RM5,000).

Manakala mereka yang hanya ingin menikmati persembahan tiket dijual pada harga RM100.

Maklumat lanjut, tempahan meja dan pembelian tiket boleh menghubungi pejabat Fakulti Muzik UiTM.

-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");