Sukan Hari Ini

Misi raih slot ragbi Remaja Dunia

Petaling Jaya: Malaysia bertekad menempah baki satu slot bagi pasukan Asia beraksi di Kejohanan Ragbi Remaja Dunia 2017 dengan menjuarai Kejohanan Ragbi Asia Bawah 19 Tahun (Divisyen 1) di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dari 1 hingga 6 Disember.

Berikutan penarikan diri Filipina dan Korea Selatan, Thailand satu-satunya halangan Malaysia untuk muncul juara Divisyen 1 kejohanan itu, serta dinaikkan taraf beraksi ke Tier 1 pada 2016 yang juga Divisyen Teratas.

Bagaimanapun, laluan pemain Malaysia ke Kejohanan Remaja Dunia masih perlu melepasi satu lagi tugas sukar apabila hanya juara Divisyen Teratas dalam kalangan lima pasukan terbaik Asia, akan meraih baki satu slot berkenaan.

Pengurus Besar Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) Mohd Mazuri Sallehudin melahirkan keyakinan pemain remaja Malaysia mampu mengatasi cabaran pasukan Thailand, hasil daripada program pembangunan akar umbi serta kelebihan beraksi di tempat sendiri.

“Kita dan Thailand memiliki keupayaan sama dari segi kekuatan dan kelemahan, tapi kami berharap untuk mengatasi mereka. Selepas itu, kita perlu berdepan Hong Kong, Sri Lanka, Singapura dan Taiwan bagi mengesahkan tempat ke Kejohanan Remaja Dunia.

“Korea Selatan menarik diri daripada kejohanan itu berikutan krisis dalaman dalam persatuan mereka, manakala Filipina kerana masalah kewangan. Maka kita perlu bersaing dengan Thailand bagi menentukan pasukan mana yang layak ke Divisyen Teratas,” katanya kepada pemberita di Kelab Ragbi Cobra di sini semalam.

Mohd Mazuri juga mengumumkan Tan Thiam Jin sebagai pengurus pasukan, Nik Safuan Ismade Nik Man ketua jurulatih dengan dibantu Mohammad Faiz Samsukhidir manakala Kelab Ragbi Cobra menjadi Pasukan Pengurusan Projek Bawah 18 dan 19 Tahun Kebangsaan.

Mengulas mengenai proses pemilihan pasukan, Presiden Kelab Ragbi Cobra, Kol Tommy Pereira berkata sebanyak 25 pemain akan dipilih bagi mewakili negara selepas dua fasa pemilihan dijalankan kelab itu bersama-sama MRU dan Yayasan Rakyat 1Malaysia.

“Daripada 81 pemain dikenal pasti menerusi pelbagai kejohanan di seluruh negara, 42 akan menghadiri fasa pertama di Kelab Ragbi Cobra dari 18 hingga 22 September, sebelum 25 pemain dipilih.

“Pada 12 November ini, semua 25 pemain ini akan menentang Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Johor, dalam perlawanan persahabatan bagi menentukan pemain terbaik disenaraikan,” katanya. – BERNAMA

– http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");