Panasnya Hari Ini

Bajet 2016: Pengecualian GST Bagi Beberapa Barangan

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengambil tujuh langkah penambahbaikan layanan GST.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, untuk tujuan tersebut, kerajaan bersedia untuk melepaskan pendapatan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terhadap beberapa barangan asas berkuatkuasa pada 1 Januari 2016.

Katanya, pengenaan GST pada kadar sifar ke atas semua jenis ubat terkawal melibatkan peningkatan dua kali ganda iaitu daripada 4,215 kepada 8,630 jenama ubat.

“Pengenaan GST pada kadar sifar ke atas semua jenis ubat terkawal di bawah senarai racun kumpulan A,B,C dan D serta tambahan sebanyak 95 jenama ubat ‘over the counter’.

“Ia meliputi ubat bagi 30 jenis penyakit seperti ubat kanser, kencing manus, darah tinggi dan sakit jantung,” katanya.

Ujarnya lagi, pengenaan GST pada kadar sifar juga diberikan kepada beberapa jenis barangan makanan.

“Ia termasuklah susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik, makanan berasaskan kekacang iaitu dhal, kacang kuda, kacang hijau dan kacang putih; akar teratai atau lotus root dan sekuang air; biji sawi, gula merah dan mee kolok kering,” katanya.

Selain itu, katanya lagi, penambahbaikan GST juga dibuat bagi membolehkan petani berskala kecil mendapat manfaat daripada Skim Kadar Rata di bawah GST.

“Kerajaan mencadangkan supaya threshold jualan tahunan untuk tujuan pendaftaran di bawah skim ini diturunkan daripada RM100,000 kepada RM50,000.

“Dengan penurunan threshold, ia bererti lebih ramau petani kecil boleh mendaftar di bawah skim ini dan mengenakan tambahan dua peratus ke atas nilai jualannya, dan amaunnya boleh disimpan untuk menampung sebarang GST yang telah dibayar ke atas inputnya,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pelepasan GST juga diberikan ke atas pengimportan barang-barang bagi syarikat yang terlibat dalam aktiviti penyelenggaraan, penambahbaik dan membaikpulih dalam industri earoangkasa dan dibenarkan menyertai ‘Approved Trader Scheme’.

“Pelepasan GST juga diberikan ke atas pengimportan semula barangan yang telah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi, penyelidikan atau pameran.

“Bagi industri minyak dan gas pula, pelepasan GST diberikan kepada pengimportan semula peralatan yang dieksport secara sementara bagi tujuan sewaan dan pajakan seperti peralatan pelantar minyak juga platform terapung,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau juga menyatakan bahawa pelepasan GST juga diberikan untuk perolehan bahan dan peralatan mengajar kepada penyediaan latihan kemahiran dan vokasional yang menjalankan program diluluskan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006.

Ujarnya lagi, kerajaan juga menyedari bahawa ramai pengguna telefon bimbit terutamanya daripada golongan belia bergantung kepada perkhidmatan telekomunikasi prabayar atau prepaid card.

“Berhubungan ini, para pengguna warga Malaysia akan mendapat kembali rebat bersamaan dengan amaun GST yang dibayar yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan prabayar mereka. Langkah ini adalah mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2016,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");