Sukan Hari Ini

‘Kami mula dapat rentak’

Kuala Lumpur: Penyerang Harimau Malaya Mohd Amri Yahyah mengakui pemain negara mula serasi dengan corak latihan dan permainan diterapkan pengendali sementara Datuk Ong Kim Swee sejak mengambil alih skuad kebangsaan awal bulan lalu.

Ketika ini kedudukan jurulatih itu masih menjadi tanda tanya kerana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum membuat keputusan sama ada akan melanjutkan kontraknya yang berakhir pada Disember atau mencari calon lain untuk mengemudi pasukan negara.

Bagi Amri, 34, sebagai pemain, dia tiada hak dalam mencampuri urusan pihak pengurusan, namun percaya Kim Swee mampu melakukan perubahan ke atas skuad kebangsaan selepas mengisi posisi ditinggalkan Dollah Salleh pada 4 September lalu.

“Setakat ini semua pemain nampak selesa dan OK dengan corak latihan. Terserah kepada pihak pengurusan FAM (memilih jurulatih). Sebagai pemain saya sendiri ditentukan jurulatih dan apa yang perlu dilakukan adalah memberi kerjasama kepada setiap perancangannya,” katanya.

Harimau Malaya memperlihatkan peningkatan dalam tiga perlawanan di bawah bimbingan Kim Swee apabila mencatat dua kemenangan berturut-turut dengan menewaskan Laos 3-1 pada persahabatan antarabangsa dan 1-0 ke atas Timor Leste, kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.

Malang buat Kim Swee apabila aksi pertamanya dengan skuad kebangsaan menyaksikan insiden kekecohan dicetuskan Ultras Malaya yang memaksa FIFA menghadiahkan kemenangan 3-0 kepada Arab Saudi September lalu.

Amri yang meledak gol kemenangan ke atas Timor Leste berharap semua pemain dapat mengekalkan prestasi bagi mengharungi baki tiga perlawanan kelayakan dengan Palestin, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi.

“Alhamdulillah kita dapat tiga mata di tempat lawan atas komitmen tinggi semua pemain walaupun keadaan padang tidak begitu baik serta cuaca panas.

“Harap-harap kita dapat teruskan rentak ini,” kata pemain veteran itu yang belum bersedia menggantung but dalam tempoh terdekat ini.

-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");