Berita Hari Ini

MH17: Rusia nafi guna peluru berpandu 9N314M

KUALA LUMPUR – Moscow menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) yang memutuskan pesawat MH17 ditembak jatuh oleh misil BUK buatan negara tersebut.

Duta Besarnya ke Malaysia, Valery N Yermolov berkata, Moscow tidak lagi memiliki peluru misil BUK jenis 9N314M kerana ia tidak lagi digunakan sejak 2011.

Beliau turut mendakwa peluru berpandu jenis itu turut dimiliki negara-negara lain.

“Saya agak terkejut mendengar pemimpin Malaysia mengeluarkan kenyataan terhadap laporan itu bahawa MH17 telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia.

“Banyak bekas negara Kesatuan Soviet yang ada peluru berpandu itu malah sebahagian ahli Nato (Perjanjian Pakatan Atlantik Utara) seperti Greece juga ada peluru berpandu ini. Peluru berpandu BUK ini bukan sahaja dibuat oleh Rusia tapi juga bekas negara Kesatuan Soviet,” katanya pada sidang media di Kedutaan Rusia di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam status Facebooknya mengulas bahawa berdasarkan laporan akhir nahas MH17, pesawat itu disahkan telah ditembak oleh peluru berpandu buatan Rusia yang dilancarkan dari wilayah yang dikuasai pemberontak di timur Ukraine.

Menurut Valery, Malaysia tidak sepatutnya menuding jari kepada sesiapa yang bertanggungjawab terhadap tragedi tersebut.

“Malaysia jangan tuding jari dan jangan salahkan sesiapa bertanggungjawab dalam tragedi ini. Kami melihat banyak yang Malaysia buat untuk cari kebenaran seperti Rusia. Kami juga mahu membawa pesalah ke pengadilan.

“Malah dalam laporan Belanda sebelum ini juga menyebut bahawa mereka tidak dapat menyatakan mana asal peluru itu ditembak tapi mereka sebut pelancaran itu dari kawasan Timur Ukraine…,” katanya.

Menjawab pertanyaan media, Valery mengesahkan bahawa peluru berpandu yang disebut dalam laporan akhir itu tidak lagi digunakan Rusia sejak 2011.

“Ya (peluru berpandu itu tidak lagi digunakan pihak berkuasa Rusia). Peluru berpandu itu dibuat pada 1986…ia boleh digunakan untuk 25 tahun sahaja.

“Pada 2011, peluru berpandu ini telah dilupuskan dalam ketenteraan Rusia. Tapi kami tahu bahawa tentera Ukraine memiliki 520 peluru berpandu sehingga kini,” katanya.

Kelmarin, Lembaga Keselamatan Belanda mengesahkan MH17 ditembak jatuh dengan peluru berpandu darat ke udara BUK jenis 9N314M di ruang udara timur Ukraine tahun lepas.

Pengerusinya Tjibbe Joustra berkata, peluru berpandu itu meledak di sebelah kiri kokpit pesawat berkenaan.

Pesawat MH17 ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan bergolak Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.

Kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal pesawat Boeing 777 itu, yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam, terkorban.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");