Berita Hari Ini

Pelarian Syria: Keutamaan Kepada Profesional Dan Separa Mahir

WASHINGTON DC: Malaysia akan mengutamakan pelarian Syria daripada kumpulan profesional atau separa mahir dalam pengambilan yang akan dilakukan secara berperingkat selama tiga tahun, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata Kementerian Dalam Negeri sedang merangka prosedur bagi pengambilan 3,000 pelarian Syria.

“Ini adalah komitmen Malaysia kepada masyarakat antarabangsa,” kata Ahmad Zahid sebagai susulan kepada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menerima 3,000 pelarian Syria, semasa berucap pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York 1 Okt lepas.

Sambil mengimbas dalam ucapannya mengenai mayat Alyan Kurdi berusia tiga tahun terdampar di pantai, Najib berkata masyarakat dunia tidak seharusnya berpeluk tubuh dan melihat sahaja masalah orang pelarian ke merata negara Eropah sekarang.

Dianggarkan lebih empat juta penduduk Syria menjadi orang pelarian kerana melarikan diri daripada perang saudara yang berlaku di negara itu.

Ahmad Zahid juga berkata komitmen Malaysia kali ini jauh lebih besar berbanding yang pernah dilakukan semasa perang di negara-negara Balkan apabila negara ketika itu menerima 200 orang mangsa perang dari Bosnia Herzegovina.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada wartawan Malaysia sebaik sahaja memulakan lawatan kerja beliau ke pusat petadbiran Amerika Syarikat Rabu.

“Lawatan kali ini adalah atas jemputan kerajaan Amerika Syarikat,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

Semasa di sini, beliau akan menandatangani dokumen Arahan Presiden Keselamatan Negara No 6 (HSPD-6) bersama Setiausaha Negara AS John Kerry, yang merupakan antara prosedur terakhir bagi membolehkan Malaysia diterima sebagai negara ke-39 dalam program pengecualian visa untuk melawat Amerika Syarikat.

Pengumuman mengenainya dijangka dibuat semasa lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia yang dijadual bulan depan.

Menurut Ahmad, jika visa dikecualikan, ia terpakai kepada semua golongan rakyat Malaysia yang layak berkunjung ke Amerika Syarikat.

Katanya, Malaysia sudahpun mematuhi sebahagian besar senarai semakan ke arah mendapatkan pengecualian visa tersebut, cuma keperluan tahap penolakan permohonan visa hendaklah tidak melebihi tiga peratus berbanding sekarang berada pada tahap 4.2 peratus.

Tetapi, menurut Ahmad Zahid, keadaan ini lebih bersifat teknikal yang berkait dengan kefahaman semasa mengisi borang permohonan, dan bukannya isu keselamatan.

Timbalan Perdana Menteri berkata perkara ini boleh diatasi dengan baik hasil kerjasama dengan pihak Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dengan mengadakan program kesedaran kepada ejen pelancong dan orang ramai berhubung prosedur permohonan visa.

Semasa lawatan Ahmad Zahid, yang merupakan kali ketiga dalam tempoh setahun sejak Oktober tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri dijadual mengadakan beberapa perbincangan dengan pelbagai pihak berkuasa di Washington seperti Jabatan Negara, Jabatan Keselamatan Negara serta badan-badan seperti Agensi Perisikan Persekutuan (CIA) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Semasa lawatan hari pertama, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan dua agensi perisikan utama Amerika Syarikat iaitu CIA dan FBI.

Timbalan Perdana Menteri berbincang secara berasingan dengan Pengarah CIA, John O Brennan dan Timbalan Pengarah FBI, Mark F.Guilano antaranya mengenai aspek kerjasama menangani ancaman keganasan, keselamatan siber dan jenayah siber termasuk jenayah rentas sempadan.

Selain pertukaran maklumat dan risikan, Ahmad Zahid berharap pihak Amerika dapat berkongsi dengan agensi penguat kuasa Malaysia dari segi aspek perisian dan latihan menangani jenayah siber dan keselamatan siber.

Beliau turut memaklumkan bahawa pindaan akan dibuat kepada perundangan sedia ada untuk memantau ruang siber dan media sosial di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri juga mempelawa pihak CIA dan FBI untuk menghadiri Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya pada 21-22 Okt depan serta Persidangan Antarabangsa Mengenai Deradikalisasi pada bulan Januari.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");