Berita Hari Ini

TPPA: Malaysia Boleh Tarik Diri Jika ‘Kurang Selesa’ – Mustapa

KUALA LUMPUR: Malaysia boleh menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada bila-bila masa, walaupun selepas pelaksanaannya, jika berasa ‘kurang selesa’, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata Malaysia juga tidak akan dikenakan denda atau penalti jika menarik diri daripada perjanjian itu kerana TPPA adalah perjanjian sukarela.

“Bagaimanapun, sekiranya kita menarik diri, kita akan menjadi kurang kompetitif berbanding negara-negara ahli yang lain,” katanya pada sesi #TanyaGomen di sini, Jumaat.

Beliau berkata TPPA akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen serta hanya ditandatangani sekiranya mendapat persetujuan Parlimen.

“Jika ditandatangani, TPPA perlu melalui proses ratifikasi selama dua tahun yang akan melibatkan penggubalan dan pindaan undang-undang untuk diselaraskan dengan TPPA, dan jika undang-undang yang dibentang tidak dipersetujui oleh Parlimen, Malaysia boleh membatalkan perjanjian,” katanya.

Mustapa juga berkata kandungan TPPA akan didedahkan kepada umum dalam tempoh beberapa minggu lagi bagi memastikan masyarakat mendapat gambaran sebenar perjanjian.

Beliau turut memberi jaminan pelaksanaan TPPA tidak akan menyebabkan kemasukan barangan bawah piawaian ke Malaysia.

“Kita ada dasar-dasar negara, kita ada SIRIM untuk memastikan barang-barang yang diimport mengikuti piawaian.

“Dasar-dasar ini akan diteruskan,” katanya yang menambah jika perkara seumpama berlaku, ia disebabkan penguatkuasaan tidak berkesan.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");