Membawang Hari Ini

ASK2015: Raja Ilya & Ayu Raudhah cipta sejarah

SELEPAS tujuh tahun menceburi dunia lakonan, pelakon jelita, Raja Ilya mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2015 (ASK2015), kelmarin.

Kemenangan aktres berusia 29 tahun itu dinilai berdasarkan potensi lakonannya menerusi drama Lorong Kecil Ke Syurga sekali gus menewaskan calon lain yang terdiri daripada barisan pelakon hebat iaitu Normah Damanhuri, Nad Zainal, Ellie Suriati dan Reen Rahim.

Terkejut dengan kemenangan itu, bahkan pemilik nama sebenar Raja Ramilah Begum Raja Mohamad sebak ketika menerima trofi kemenangannya.

“Sejujurnya, saya tak pernah mimpi untuk naik ke atas pentas dan menerima anugerah. Lebih-lebih lagi, hasil lakonan saya lebih menjurus kepada watak antagonis.

“Tapi, saya tak sangka pula dengan watak antagonis pun, kita masih boleh memenangi anugerah kerana pada saya, anugerah seperti ini hanya untuk mereka yang membawakan watak-watak utama ataupun protagonis.

“Sebab itu, apabila saya naik ke atas pentas, saya rasa sebak. Kalau boleh, saya mahu sebutkan semua senarai nama yang terlibat kerana kemenangan ini adalah hasil usaha daripada semua pihak. Alhamdulillah,” katanya.

Puas dengan perjalanan seninya, Raja Ilya turut mengimpikan untuk bergelar Pelakon Wanita Terbaik, suatu hari nanti.

“Sudah tentu, setiap pelakon mengimpikannya. Begitu juga saya.

“Sekurang-kurangnya, saya mahu tunjukkan bahawa dengan watak antagonis juga boleh layak untuk mendapat pengiktirafan sedemikian,” katanya.

Pembakar semangat

Berhadapan dengan situasi yang sama, aktres cantik, Ayu Raudhah turut terkejut dengan kemenangan yang diperolehnya sementelahan lagi sudah tiga tahun berehat seketika daripada bidang lakonan.

Ayu Raudhah diiktiraf sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem menerusi filem Lagenda Budak Setan 3 : Kasyah.

Bersyukur dengan kemenangan itu, pemilik nama sebenar Raudhah Che Wan @ Abu Bakar ini menyifatkan kejayaannya itu adalah sebagai pembakar semangat untuknya kembali berlakon.

“Filem ini adalah lakonan terakhir saya selepas mengambil keputusan untuk berehat seketika bagi memberi fokus kepada keluarga dan bisnes.

“Tapi, tak sangka pula menerusi filem ini saya berpeluang memenangi anugerah selain mendapat pencalonan dalam Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27) yang lalu.

“Alhamdulillah, mungkin ini juga adalah rezeki anak-anak,” katanya.

Rindu untuk kembali berlakon, pelakon berusia 30 tahun ini mengakui sedang mencari masa yang bersesuaian.

Tambahan pula, suaminya yang juga pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Zaquan Adha Abdul Razak adalah seorang yang sangat memahami dan menyokong segala tindak tanduknya.

“Buat masa ini, saya memang tidak berlakon kerana anak-anak masih kecil dan sedang menyusu badan. Lagipun, saya kini menetap di Johor Bharu.

“Jadi, ia menyukarkan sedikit pergerakan saya dan membuatkan saya terus berasa selesa menjalani kehidupan sebagai suri rumah sepenuh tangga,

“Tapi, suami tidak pernah menghalang untuk saya kembali aktif berlakon cuma saya perlu melihat kepada skrip dan watak yang benar-benar bersesuaian,” katanya.

Kisah gelandangan bolot lima anugerah

Karya terbitan Aniq Communication Sdn Bhd, Lorong Kecil Ke Syurga berjaya membolot lima trofi pada malam kemuncak Anugerah Skrin 2015 (ASK2015) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, kelmarin.

Selain dinobatkan sebagai Drama Terbaik, karya itu turut memenangi anugerah Pengarah Terbaik Drama, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama, Lakon TV Terbaik Drama dan Penyunting Terbaik Drama.

Kejayaan drama arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin itu sekali gus menewaskan empat drama lain iaitu Cahaya Malaika, Dari Pintu Neraka, Kereta Kita dan Seligar.

Bersyukur di atas kemenangan yang diperolehnya, Raja Mukhriz memberitahu, drama tersebut menekankan kisah hidup masyarakat gelandangan seperti mana yang dihadapi pada hari ini.

“Alhamdulillah, isu ini sangat berat untuk diperkatakan.

“Cabaran utama kami adalah apabila perlu berhadapan dengan situasi sebenar daripada masyarakat gelandangan itu sendiri.

“Tetapi, berkat kerjasama daripada semua pihak, inilah hasilnya. Alhamdulillah,” katanya.

Dalam pada itu, bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama pula disandang oleh pelakon kecil molek, Sara Ali menerusi drama Hak manakala Pelakon Lelaki Terbaik Drama pula dimenangi oleh Amar Asyraf (Dari Pintu Neraka).

Sementara itu, Lelaki Harapan Dunia terbitan Everything Films Sdn Bhd diangkat sebagai Filem Terbaik.

Malah, pengarahnya, Liew Seng Tat turut memenangi anugerah Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Terkejut dengan kejayaan yang diterima, penerbitnya, Sharon Gun menganggap segala kontroversi yang tercipta sebelum ini sebagai perbincangan bagi memajukan lagi industri perfileman negara.

“Kontroversi? Saya rasa ia adalah satu perjalanan yang kita harus tempuhi.

“Setiap persepsi yang timbul adalah satu perbincangan. Itu bermaksud ada orang yang mengambil berat tentang industri filem kita.

“Apabila ada perbincangan dan kritikan, sudah pasti ia sangat membantu,” katanya.

Dalam pada itu, Pelakon Wanita Terbaik Filem pula dimenangi oleh Lisa Surihani menerusi filem Dendam manakala aktor Beto Kusyairy muncul sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Filem menerusi filem Gila Baby sekali gus menewaskan barisan pelakon hebat Wan Hanafi Su, Bront Palarae, Ady Putra dan Fizz Fairuz.

Sebanyak 31 kategori dicalonkan pada penganjuran kali ini yang bertemakan Raikan Bintang.

Malam kemuncak ASK2015 dimeriahkan oleh vokalis kumpulan Wings, Awie, dan penyampai radio popular, Fara Fauzana sebagai pengacara.

Antara artis dan dramatis yang terbabit dalam segmen persembahan ialah Azmil, Amir Jahari, Ayda Jebat, Asmidar, Ungku Ismail Aziz, Zahiril Adzim, Marsha Milan Londoh, Izzue Islam dan Sarah Mentor Legend.

Anugerah yang dianjurkan sejak 1995 ini memasuki tahun ke-17 bertujuan mengiktiraf karyawan seni tempatan melalui filem, drama, lakonan dan kerja di belakang tabir.

Senarai penuh pemenang ASK2015:

KATEGORI DRAMA

1. Drama Terbaik: Lorong Kecil Ke Syurga (Aniq Communication Sdn Bhd)
2. Lakon TV Terbaik: Joe Sidek (Lorong Kecil Ke Syurga)
3. Pengarah Drama Terbaik: Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin (Lorong Kecil Ke Syurga)
4. Penyunting Drama Terbaik: Akashdeep Singh (Lorong Kecil Ke Syurga)
5. Videografi Terbaik Drama: Jamaludin Yaacob (Penyabong)
6. Pelakon Lelaki Terbaik Drama: Amar Asyraf (Dari Pintu Neraka)
7. Pelakon Wanita Terbaik Drama: Sara Ali (Hak)
8. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama: Izuan Fitri (Penyabong)
9. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama: Raja llya (Lorong Kecil Ke Syurga)
10. Drama Rantaian Komedi Terbaik: Rubberband (Balang Rimbun Sdn Bhd)
11. Drama Rantaian Terbaik: Hidayahmu Ramadan (Primeworks Studios)
12. Drama Rantaian Popular Media Sosial: Rindu Awak 200% (Creative Skill Solution Sdn Bhd)

KATEGORI FILEM

1. Filem Terbaik: Lelaki Harapan Dunia (Everything Films Sdn Bhd)
2. Lakon Layar Terbaik: Liew Seng Tat (Lelaki Harapan Dunia)
3. Pengarah Terbaik Filem: Liew Seng Tat (Lelaki Harapan Dunia)
4. Pelakon Lelaki Terbaik Filem: Beto Kushairy (Gila Baby)
5. Pelakon Wanita Terbaik Filem: Lisa Surihani (Dendam Orang Mati)
6. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem: Sharnaaz Ahmad (Gila Baby)
7. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem: Ayu Raudhah (Lagenda Budak Setan 3)

KATEGORI PENERBITAN DALAMAN

1. Rancangan Bual Bicara Terbaik: Wanita Hari Ini (Banduan Akhir)
2. Rancangan Dokumentari/Majalah Terbaik: Welcome To The Rail World
3. Laporan Khas Berita Terbaik: Berita Nasional 5
4. Rancangan Hiburan Terbaik: The Gadabout Barber
5. Rancangan Anugerah Terbaik: Anugerah Juara Lagu 29
6. Rancangan Realiti Terbaik: Mentor Legend : Konsert Akhir

KATEGORI TEKNIKAL

1. Videografi Terbaik: Hip-Hoppin Asia
2. Suntingan Terbaik: The Gadabout Barber
3. Penataan Cahaya Siaran Langsung Terbaik: Anugerah Juara Lagu 29
4. Penataan Bunyi Siaran Langsung Terbaik: Mentor Legend Akhir
5. Rekabentuk Set Terbaik: Mentor Legend Akhir
6. Montaj Terbaik: Anugerah Juara Lagu 29

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");