Isu Panas

‘Desak Najib turun kerana dendam’

PUCHONG – Tindakan segelintir ketua Umno cawangan di Bahagian Puchong yang mendesak Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri disifatkan berniat jahat dan lebih kepada kepentingan individu.

Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Puchong, Yusof Isa berkata, mereka yang membuat desakan itu menyimpan dendam akibat kekalahan pada Pemilihan Umno pada 2013, selain kalah di peringkat pemilihan perwakilan (G7) lalu.

Menurutnya, pihak itu menggunakan isu mendesak Najib meletak jawatan lebih kepada memalukan Umno bahagian yang diketuai Datuk Dr Mohamad Satim Diman.

“Kami ketua cawangan dan Umno bahagian menolak sekeras-kerasnya tindakan mereka yang mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri. Sokongan penuh kami tidak berbelah bahagi kepada Presiden dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Zahid Hamidi,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan dibuat sebelum ini tidak mendapat restu ahli jawatankuasa cawangan, sedangkan sesuatu keputusan dibuat hendaklah dibincangkan dulu di peringkat itu.

Menurutnya, ketua Umno cawangan yang membuat kenyataan sebelum ini kebanyakan daripada mereka menghadapi masalah di peringkat cawangan masing-masing.

“Memandangkan isu ini boleh rosakkan Umno, kami desak pihak pengurusan tertinggi parti ambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang cuba memecah-belahkan kepimpinan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkumpul bersama kira-kira 80 ketua cawangan dan sayap parti bahagian itu semalam bagi menzahirkan sokongan kepada Najib, Zahid dan Mohamad Satim.

AJK Bahagian Puchong yang juga Ketua Umno Cawangan Seri Kembangan, Ramli Simbok berkata, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya pembabitan Umno bahagian dalam menjatuhkan presiden parti.

Katanya, perbuatan segelintir membabitkan hanya beberapa ketua cawangan semata-mata untuk memalukan Umno Puchong.

“Dalam keadaan sekarang ni kita tak mampu berpecah-belah. Kami dah ambil satu resolusi untuk berpadu, semata-mata nak menang pilihan raya.

“Saya percaya mereka yang buat kenyataan sebelum ini tidak menyokong kepimpinan bahagian dan mengambil kesempatan menggunakan isu Najib untuk memalukan bahagian,” katanya.

Beliau berkata, akan mengusulkan kepada jawatankuasa bahagian supaya mereka yang mencemarkan nama baik parti dikenakan tindakan segera.

Ketua Wanita Umno Bahagian Puchong, Hasnah Dain berkata, pihaknya menyokong penuh kepimpinan tertinggi parti.

“Kenyataan ini dibuat berikutan ada cawangan yang membuat kenyataan bersikap peribadi atas kepimpinan negara, saya juga ingin menangkis fitnah yang dilemparkan kepada saya,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian Online melaporkan selepas ketua Umno cawangan dalam bahagian Teluk Kemang dan Sepang bersuara melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Najib, cawangan dalam bahagian Puchong juga melakukan perkara sama.

Mereka diwakili tujuh ketua cawangan itu menegaskan agar Najib perlu berundur dengan hormat ekoran masalah yang dialami Umno hari ini.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");