Jenayah

Lori terbalik elak kereta memotong

KUALA KRAI – Seorang lelaki bersyukur kerana terselamat walaupun lori membawa muatan ayam dipandunya terbalik di Kilometer (KM) 78, Jalan Kota Bharu Gua Musang pada jam 8.30 pagi semalam.

Ketika kejadian, mangsa, Che Man Che Hamid, 53, dalam perjalanan dari Banting, Selangor ke Pasir Mas dengan membawa muatan ayam bernilai kira-kira RM74,000.

Rakannya, yang juga kelindan lori, Mohd Shahril Deraman, 30-an cedera di kaki dan dikejarkan ke Hospital Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awan Malaysia (JPAM) Kuala Krai.

Che Man berkata, ketika tiba di tempat kejadian, terdapat dua kereta memotong di garisan berkembar.

“Saya cuba mengelak daripada melanggar kedua-dua kereta berkenaan yang datang dari arah bertentangan, bagaimanapun lori yang saya pandu terbalik.

“Kereta terlibat memberhentikan kenderaan masing-masing seketika sebelum meneruskan perjalanan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Dia yang baharu bekerja sebagai pemandu lori dengan Syarikat Brother Nik Fried Chicken berkata, kemalangan itu merupakan kejadian pertama berlaku ke atas dirinya sepanjang dia membawa lori sejak tiga tahun lalu.

“Namun saya bersyukur kerana dapat mengawal lori daripada jatuh ke bawah jalan yang agak tinggi.

“Kebanyakan kemalangan berlaku di kawasan ini menyebabkan kenderaan jatuh ke bawah jalan, sementara ramai mangsa maut dan cedera parah,” katanya.

Pengarah Urusan Brother Nik Fried Chicken Enterprise, Nik Hashim Nik Nordin pula berkata, kerugian akibat kemalangan itu dianggarkan bernilai sekitar RM10,000 melibatkan kerosakan lori dan sebahagian muatan ayam

Tambahnya, kemalangan itu menyebabkan syarikatnya berhadapan kerugian kedua tahun ini selepas disamun di Jelawat, Bachok.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai berkata, pemandu lori terbabit cuba mengelak kereta yang memasuki laluannya dengan menekan brek, namun tindakan itu menyebabkan lorinya melanggar pengadang jalan di sebelah kiri sebelum terbalik.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");