Isu Panas

PKR terima ‘pendirian’ 5 Adun, akui usul BN baik

SHAH ALAM – PKR mengakui usul yang dikemukakan Adun BN Pulau Pinang berhubung projek tebus tanah baik meskipun mereka tidak bersetuju dengan pendirian Umno dalam isu itu.

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, parti itu telah meneliti isu tersebut dan mengesahkan bahawa adun-adunnya dibenarkan membuat pengundian mengikut suara hati (conscience vote) di dalam isu-isu tertentu.

“Pengundian lima Adun PKR pada Jumaat lalu adalah berdasarkan ‘conscience vote’ ini kerana ia merupakan suatu isu alam sekitar yang rumit.

“Meskipun PKR tidak bersetuju dengan pendirian Umno di dalam isu ini, namun usul yang memohon supaya projek tebus guna tanah pada masa akan datang melalui proses kajiselidik alam sekitar yang menyeluruh adalah baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, lima wakil rakyat PKR memilih untuk berkecuali sewaktu undian dijalankan terhadap usul Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang mencadangkan semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum.

Dalam kenyataan media sama, Fahmi berkata, PKR berpuas hati dengan penjelasan lima Adun tersebut dan mengangap ‘conscience vote’ adalah amalan demokrasi biasa yang perlu digalakkan di negara ini.

“PKR akan terus membawa suara rakyat di Dun Pulau Pinang.

“Pada masa yang sama, saya memohon agar tiada lagi kenyataan yang dibuat oleh pimpinan PKR oleh kerana perkara ini boleh dibincangkan dengan lebih lanjut di peringkat Pakatan Harapan,” katanya.

Lima Adun PKR yang berkecuali itu ialah Ong Chin Wen (Bukit Tengah); Dr Norlela Ariffin (Penanti); Lee Khai Loon (Machang Bubuk); Cheah Kah Peng (Kebun Bunga) dan Dr T.Jayabalan (Batu Uban).

PKR mempunyai 10 kerusi Dun. Dua lagi Adun PKR, Datuk Law Choo Kiang (Bukit Tambun) dan Datuk Maktar Shapee (Sungai Bakap) tidak boleh mengundi kerana masing-masing adalah Speaker dan Timbalan Speaker Dun.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");