Berita Hari Ini

70 peratus pengusaha pam minyak rugi

LABIS – Sebanyak 70 peratus pengusaha stesen minyak di negara ini terpaksa menanggung kerugian berikutan kejatuhan harga minyak ketika ini kerana terpaksa membayar harga yang lebih tinggi kepada pembekal berbanding harga jualan setiap kali berlakunya penurunan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, baru-baru ini juga, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia telah mengadakan perjumpaan dan dialog dengan pihaknya bagi membincangkan masalah tersebut.

“Dalam dialog tersebut, mereka telah meminta kepada Kementerian Kewangan sama ada terdapat sistem yang baharu untuk menentukan harga minyak selepas kerajaan mengumumkan untuk mengapungkan harga minyak setiap bulan bermula Disember tahun lalu.

“Pengapungan harga yang tidak tetap ini telah menyebabkan sebanyak 70 peratus pengusaha stesen minyak persendirian daripada kira-kira 5,000 pengusaha di seluruh negara mengalami kerugian apabila harga minyak menurun,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Labis berkata selepas melakukan lawatan ke Pekan Bekok, di sini, petang kelmarin.

Menurutnya, pengeluar minyak juga dikesan menghantar stok minyak yang berlebihan apabila berlakunya penurunan harga minyak dan pengusaha tidak mempunyai pilihan kerana terpaksa menjualnya pada harga lama.

Katanya, pelbagai cadangan telah dikemukakan oleh pihak pengusaha stesen minyak termasuk meminta agar kerajaan menetapkan harga minyak pada setiap minggu berbanding setiap sebulan pada ketika ini bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh mereka.

“Namun, kerajaan memerlukan tempoh beberapa bulan bagi meneliti setiap cadangan serta menilai dari segenap aspek termasuk langkah yang perlu diambil ketika berlaku peningkatan harga minyak demi kepentingan semua pihak.

“Kerajaan mengambil keputusan untuk mengapungkan harga minyak setiap bulan kerana harga pasaran minyak ketika itu sering meningkat dan menurun untuk tempoh yang singkat berbanding lebih banyak menurun pada masa ini,” katanya.

Menurutnya, masalah tersebut dilihat bukan sahaja memberi kesan pengusaha stesen minyak, malah turut menjejaskan jumlah pengedaran bahan api kepada pengguna serta industri itu sendiri sekiranya banyak pengusaha terpaksa gulung tikar akibat mengalami kerugian.

Katanya, pihaknya juga sedang menunggu satu cadangan lebih teliti daripada pihak pengusaha bagi sebelum dibincangkan semula dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebelum melakukan sebarang perubahan.

“Kerajaan tidak boleh membuat keputusan berhubung isu ini secara tergesa-gesa kerana kita tidak mahu sebarang kekeliruan dan keadaan tidak menentu berlaku terutama ketika harga minyak meningkat nanti kerana kita tidak boleh membuat ramalan bahawa harga minyak akan terus menurun,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");