Sukan Hari Ini

‘Ballard lari ke India’

Kuala Lumpur: Pertelingkahan antara Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Robert Ballard dengan presiden badan induk berkenaan Datuk Karim Ibrahim akhirnya menemui titik noktah apabila pengendali dari Australia itu memutuskan untuk meletak jawatan lebih awal.

Ballard akhirnya mengalah dengan tuntutan KOM yang tidak mahu menggunakan khidmatnya lagi dengan memutuskan untuk melepaskan jawatan itu lebih awal daripada tarikh kontrak pada 31 Januari 2016.

Majlis Sukan Negara (MSN), semalam bersetuju menerima surat peletakan jawatan beliau yang dihantar pada 8 Disember lalu.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau menerima keputusan Ballard yang dilaporkan mendapat tawaran mengendalikan pemain tenis wanita India Sania Mirza.

Shapawi berkata, pihaknya terlebih dulu berbincang dengan Ballard sebelum mengambil keputusan untuk menerima peletakan jawatannya.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau. Biarpun ada perselisihan sepanjang di sini, umumnya Ballard turut menyumbangkan sesuatu kepada olahraga negara.

“Tanpa kehadiran beliau, program Kita Juara 2017 berjalan seperti biasa dan tidak terjejas kerana jurulatih lain menjalankan tugas masing-masing termasuk di peringkat pelapis,” katanya.

Ballard dilantik Pengarah Teknikal ketika Datuk Zainal Abidin Ahmad menerajui KOM. Bagaimanapun Karim yang mengambil alih jawatan presiden badan induk itu tidak begitu menyenangi kehadiran Ballard yang dikatakan mencetuskan persengketaan antara jurulatih tempatan akibat tidak berpuas hati dengan pendekatannya.

Malah kehadiran Ballard dalam KOM dikatakan tidak membantu dalam melonjakkan sukan itu sebaliknya keputusan dicapai pada temasya Sukan SEA lalu dianggap yang terburuk dalam sejarah penganjuran temasya dwitahunan itu.

Difahamkan, KOM berminat ambil jurulatih dari Jamaica Leo Alamando Brown untuk mengambil tempat Ballard namun hingga sekarang masih belum menerima lampu hijau MSN.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");