Berita Hari Ini

Gesaan mansuh hukuman khalwat tak sesuai

SHAH ALAM – Gesaan kumpulan bekas penjawat awam, G25 berhubung pemansuhan hukuman terhadap perbuatan khalwat tidak bersesuaian kerana kesalahan ini bukan sahaja melibatkan individu semata-mata malah melibatkan kepentingan awam yang lain.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Datuk Ahmad Yunus Hairi berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan bagi memastikan rakyat yang beragama Islam di negeri ini tidak melakukan sebarang jenayah termasuk kesalahan berkhalwat.

“Kesalahan ini bukan sahaja melibatkan individu semata-mata malah melibatkan kepentingan awam yang lain.

“Peranan kerajaan ini adalah selari dengan prinsip Amar Maaruf Nahi Munkar yang telah ditetapkan oleh ALLAH kepada semua manusia sepertimana di dalam Surah Ali-Imran ayat 110,” katanya ketika diminta mengulas gesaan G25.

Menurutnya, perbuatan khalwat ini juga boleh menjerumus ke arah perbuatan zina yang boleh menyumbang kepada kelahiran anak luar nikah dan berlakunya gejala pembuangan bayi.

“Ia akan beri kesan kepada masalah sosial seperti pergaduhan dalam masyarakat, pasangan dan sebagainya.

“Analoginya dapat dilihat melalui isu rasuah yang mana kesalahan tersebut hanya melibatkan penerima dan pemberi rasuah sahaja iaitu dua individu tanpa melibatkan orang lain.

“Keadaan ini adalah sama senarionya dengan kesalahan jenayah khalwat yang mana kesannya bukan hanya kepada individu sahaja malah melibatkan masyarakat awam,” katanya.

Beliau yang juga Adun Sijangkang berkata, walaupun kesalahan ini di bawah peruntukan undang-undang yang berbeza namun kedua-duanya jelas disebut pengharamannya dalam hukum syarak.

“Islam juga tidak boleh dilihat dalam ruang lingkup yang sempit tetapi perlu disesuaikan dengan keadaan dan ‘urf masyarakat Malaysia pada ketika ini di mana peningkatan kadar jenayah semakin membimbangkan terutamanya bersangkutan dengan polisi moral.

“Islam itu sendiri telah meletakkan garis panduan yang perlu diikuti agar pergaulan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram terkawal,” katanya.

Oleh yang demikian, katanya, sebarang cadangan pemansuhan atau permasalahan undang-undang yang telah digubal oleh mereka perlulah melalui kaedah dan forum yang bersesuaian.

Terdahulu, jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin memaklumkan mahu menubuhkan sebuah jawatankuasa perunding bagi membincangkan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");