Jenayah

Gerak hati selamatkan kereta

DURIAN TUNGGAL: Gerak hati seorang pekerja swasta untuk pulang ke rumahnya pada tengah hari menyelamatkan sebuah kereta Proton Perdana miliknya daripada ditenggelami air di Jalan Dodol, Kampung Pulang, petang semalam.

Azizi Md Shaharom, 36, berkata, biasanya dia akan pulang ke rumah lebih kurang jam 6 petang bersama isterinya, Salmiah Hashim, 56, yang bekerja di Wisma Negeri.

Setibanya di rumah, katanya, air telah masuk ke dalam keretanya sebelum dia segera menghubungi penarik kereta untuk membawa kereta ke bengkel dan sempat memindahkan beberapa barang ke tempat lebih tinggi.

Menurutnya, walaupun ketika itu tidak hujan, namun dalam tempoh dua jam, air mula naik hingga paras pinggang dan masuk ke dalam rumah.

“Air naik terlalu cepat sehingga saya tak sempat selamatkan barang-barang seperti perkakas elektrik.

“Lebih-lebih lagi rumah kami terletak lebih kurang 800 meter dari empangan Sungai Gangsa dan hingga hari kedua pun, banjir masih tak surut,” katanya.

Sedia khemah

Seorang mangsa banjir yang ditempatkan di SK Belimbing Dalam, Wan Noraini Wan Rosli, 26, berkata, dia yang pertama kali dipindahkan ke pusat pemindahan itu bersyukur kerana lokasinya selesa selain diberikan kemudahan khemah.

“Alhamdulillah hari ini (semalam) masuk hari kedua saya di sini dan setakat ini saya selesa, sekurang-kurangnya dengan ada khemah, mudah untuk saya menyusukan anak.

“Cuma bimbang bekalan lampin pakai buang anak hampir kehabisan selain anak sulung saya perlukan susu tepung. Saya harap dapat bantuan berkenaan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Datuk Murad berkata, sebanyak 48 keluarga dari Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Pulau masih ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam di sini, semalam.

Menurut beliau, pusat pemindahan berkenaan menjadi lokasi paling ramai menempatkan mangsa dengan jumlah seramai 203 orang termasuk 16 warga emas dan tiga OKU.

Beliau berkata, tiga pusat pemindahan dalam Dun Durian Tunggal masih dibuka dan dipantau oleh agensi teknikal berkaitan iaitu di SK Belimbing Dalam, Balairaya Bukit Balai dan Balairaya Kampung Panchor.

“Sejak kelmarin, seramai 10 mangsa melibatkan tiga keluarga berada di Balairaya Kampung Pachor, manakala 17 mangsa lagi di Balairaya Kampung Bukit Balai,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan dan Masjid Ar Rasyidin, Balairaya Beringin Baru serta Balairaya Kampung Gadek telah ditutup.

“Kita memantau dari aspek kebersihan termasuk kawasan khemah mangsa, tempat makan dan juga tandas bagi memastikan kawasan sentiasa bersih dan terjaga, sekali gus mengelak berlaku penyakit berjangkit.

“Dalam masa sama, MPAG bersama Jabatan Pengaliran Saliran (JPS) Alor Gajah juga akan mengambil tindakan membersihkan sistem perparitan yang tersumbat agar kejadian banjir tidak berulang lagi,” katanya.

Penduduk mula bersihkan rumah msing-masing

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di Kampung Belimbing Dalam mendapati, ada antara penduduk yang telah mula membersihkan rumah walaupun banjir di sesetengah kawasan belum surut.

Nokiah Akob, 60, berkata, walaupun air belum pulih sepenuhnya, dia dan suami meminta kebenaran untuk pulang sebentar ke rumah bagi membersihkan lantai rumah yang telah dinaiki banjir lumpur.

“Dah lama tak berlaku banjir teruk dan kali terakhir pada 2010 sehinggakan air naik paras dada.

“Walaupun banjir kali ini tidak seteruk sebelum ini namun tetap memberi kesan, bagaimanapun kami reda,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");