Berita Hari Ini

Gesaan G25 tidak relevan

SHAH ALAM – Gesaan G25 agar hukuman khalwat terhadap orang Islam dimansuhkan kerana didakwa melanggar hak kebebasan individu seperti termaktub dalam Perlembagaan adalah tidak relevan.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini kerana Perlembagaan tidak beri hak kebebasan mutlak kepada warganegara untuk melakukan apa sahaja termasuk melanggar undang-undang digubal Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Katanya, Perlembagaan juga beri hak dan kuasa untuk kerajaan negeri menggubal undang-undang Islam dikuatkuasakan kepada orang Islam menerusi Mahkamah Syariah.

“Setiap orang Islam terikat dengan undang-undang Islam. Tidak ada manusia yang mengaku orang Islam berhak bebas melakukan dosa dan maksiat tanpa sebarang penguatkuasaan pihak berkuasa.

“Dengan kuasa diberikan oleh Perlembagaan untuk kerajaan negeri menggubal undang-undang, maka menjadi hak kerajaan negeri menggubal undang-undang Islam yang dikuatkuasakan menerusi Mahkamah Syariah terhadap orang Islam termasuklah undang-undang khalwat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Mohd Khairuddin, dalam Islam menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mewujudkan undang-undang yang boleh dikategorikan dalam kategori takzir untuk mengekang perlakuan tidak bermoral.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin yang menolak tindakan pihak berkuasa agama mengadakan serbuan dan intipan khalwat sebagai tidak tepat dan perlu perincian tokoh ulama silam.

“Apabila tokoh-tokoh ulama menegaskan haram melakukan intipan maksiat tersembunyi, mereka memperincikan hal dan keadaan pengecualian yang dibenarkan intipan dibuat oleh pihak berkuasa. Antaranya apabila ia melibatkan maksiat tersembunyi yang boleh membawa kepada tercemarnya maruah dan kehormatan seperti zina dan pembunuhan.

“Apabila terdapat aduan bersifat sangkaan yang kuat, maka pihak berkuasa dibenarkan untuk melakukan intipan dan penyelidikan dalam kes tersebut,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");