Berita Hari Ini

KPWKM terus proaktif 2015

Putrajaya: Lapan kumpulan sasar masing-masing kanak­kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas, wanita, keluarga, mangsa bencana, orang papa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus diberi perhatian serius oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menerusi inisiatif terbaru dikenali sebagai Pangkalan Data Maklumat Nasional Isu­Isu Sosial (MaNIS), kementerian berpendapat sudah tiba masanya pangkalan data berpusat diwujudkan untuk mengendalikan lapan kumpulan sasar berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, MaNIS akan menjadi sumber rujukan berpusat apabila maklumat mengenai lapan kumpulan sasar itu diuruskan secara lebih komprehensif dan teratur.

Beliau berkata, MaNIS berperanan mengumpul, mengawal, menganalisis dan membuat laporan mengenai data itu terutama membabitkan kumpulan sasar yang berasaskan kebajikan dan kesukarelaan.

“MaNIS juga menjadi platform pengumpulan data sosial berpusat bagi membantu penggubalan dasar serta pembangunan program sosial yang berkualiti untuk dilaksanakan oleh kementerian.

“Melalui Pelan 1 (2016­2017) Rancangan Malaysia Ke­11, kerajaan meluluskan peruntukan untuk menambah baik sistem MaNIS sebagai hab utama maklumat isu sosial negara merentasi pelbagai agensi yang meliputi sektor awam, swasta, NGO dan korporat dengan memasukkan ciri baru yang lebih mesra pengguna dan boleh dicapai dalam pelbagai saluran,” katanya.

Katanya, kementerian turut berhasrat menjadikan MaNIS pusat rujukan nasional seiring dengan inisiatif Data Raya Sektor Awam.
Selain memperkukuhkan peranan berterusan membantu lapan kumpulan sasar berkenaan, kementerian turut melancarkan logo baru kementerian yang bermotifkan bunga ‘Bird of Paradise Strelitzia’

Rohani berkata, motif bunga berkenaan dipilih bagi mencerminkan sifat komponen dalam kementerian yang penuh karisma, harmoni dan dinamik dalam setiap gerak kerja yang dipertanggungjawabkan.

Menurutnya, logo yang membawa tema ‘Keluarga Bahagia Negara Sejahtera’ itu digunakan secara rasmi berkuat kuasa 9 Jun lalu.

“Saya berharap logo itu dapat menyuntik semangat yang baru dalam kalangan warga kerja untuk menjaga nama baik kementerian malah, warga kementerian dan agensi harus mengenalpasti idea baru selain berfikiran inovatif bagi memastikan organisasi ini terus relevan dan berkembang,” katanya.

Dalam pada itu, Rohani berkata, kementerian turut melaksanakan 47 inisiatif Pelan Transformasi KPWKM 2014 hingga 2018 dan antara lain mengetengahkan empat pendekatan iaitu berbentuk ‘quick wins’; jangka pendek; jangka sederhana dan jangka panjang.

“Semua perancangan itu terkandung di bawah Pelan Transformasi kementerian bagi tempoh pelaksanaan 2014 sehingga 2018.

“Dari jumlah itu, sebanyak dua projek selesai dilaksanakan iaitu Pusat Sehenti KPWKM (OSC) dan Aturan Kerja Anjal (FWA),” katanya.

Katanya, sebanyak 33 projek pula masih dalam tindakan pelaksanaan yang merangkumi pelbagai kumpulan sasar.

Rohani berkata, pelan transformasi ini juga adalah selaras dengan RMK-11 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menggariskan hala tuju baru bagi membolehkan negara mencapai matlamat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Menurutnya, kementerian melaksanakan langkah pro-aktif dalam merangka pelan transformasinya bagi meletakkan landasan kukuh dan inovatif untuk menghala ke destinasi yang dituju.

“Secara dasarnya, perancangan itu mencapai sasaran dan memberi manfaat kepada lapan kumpulan sasar di bawah bidang kuasa Kementerian,” katanya.

Selain itu, Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini banyak membantu kementerian untuk memperkasakan kumpulan sasar kementerian.

“Bajet lalu memberi tumpuan terhadap kebajikan ibu bapa, membela kebajikan OKU dan mengukuhkan institusi kekeluargaan.

“Antara manfaat yang diperoleh adalah pemberian RM350 sebulan kepada OKU bekerja dan RM200 kepada OKU tidak bekerja serta penjagaan OKU terlantar sebanyak RM300 sebulan dengan peruntukan sebanyak RM445 juta yang boleh memberi manfaat kepada seramai 150,000 OKU,” katanya.

Selain itu, turut diumumkan adalah RM100 juta disediakan termasuk untuk menambah 20 lagi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Rohani berkata, bagi ibu bapa mempunyai anak OKU yang sedang melanjutkan pengajian di institusi dalam dan luar negara, had pelepasan cukai dinaikkan sehingga RM14,000 bermula tahun depan.

Menurutnya, kementerian sentiasa menggalakkan anak-anak mengambil berat terhadap kebajikan ibu bapa di mana ia memberi penekanan terhadap kebajikan ibu bapa iaitu cukai pelepasan sehingga RM5,000 bagi tujuan perubatan dan penjagaan terhad kepada ibu bapa yang sakit.

“Bagi anak yang menyara ibu bapa di berumur 60 tahun ke atas dan ibu bapanya mempunyai pendapatan tidak melebihi RM2,000, mereka akan mendapat manfaat pelepasan cukai terkumpul sehingga RM3,000,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");