Jenayah

Lemas punca kematian

BAGAN SERAI: Polis mengesahkan kes penemuan mayat lelaki terapung di dalam parit di Kampung Matang Jelutong, Alor Pongsu di sini pagi kelmarin sebagai kes mati mengejut akibat lemas, bukan langgar lari.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, bagaimanapun, pihaknya masih tidak dapat mengenal pasti punca sebenar mangsa yang identiti belum diketahui terjatuh ke dalam parit itu.

Menurutnya, hasil bedah siasat ke atas mangsa di Hospital Parit Buntar mendapati punca kematian adalah lemas.

“Laporan bedah siasat turut menyatakan luka di kepala sebelah kanan mangsa tidak dalam dan tidak menyebabkan kematian seperti dijangka sebelum ini.

“Selain itu, tiada kesan luka di kaki, lutut dan paha sebelah kanan mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya kepada media di sini semalam.

Omar Bakhtiar berkata, mangsa dianggarkan berusia lingkungan 40an itu masih tidak dapat dikenal pasti identiti dirinya berikutan masih tiada waris yang tampil memaklumkan kehilangan ahli keluarga.

Menurutnya, polis kini membuat hebahan melalui media elektronik dan media cetak bagi mengesan waris mangsa dan saksi yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan.

“Siasatan menyeluruh mengenai kes ini giat dijalankan dan orang awam mempunyai maklumat diminta tampil memberikan kerjasama kepada kami.

“Selain itu, polis turut berusaha mengesan waris mangsa,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan penemuan mayat seorang lelaki yang disangka bantal oleh beberapa penduduk Kampung Matang Jelutong, Alor Pongsu awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mayat mangsa ditemui seorang penduduk di dalam parit berhampiran rumahnya dalam keadaan tidak berbaju.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");