Sukan Hari Ini

Masa depan masih kabur

SHAH ALAM – Walaupun berjaya membantu Selangor menamatkan penantian 10 tahun dan merealisasikan Misi 33 dengan mendakap Piala Malaysia kelmarin, namun masa depan Mehmet Durakovic sebagai Ketua Jurulatih Red Giants masih tidak menentu.

Sejurus selepas mem­bawa Selangor menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33 dengan menundukkan Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam, jurulatih dari Australia itu hairan apabila masa depannya bersama Red Giants mencetus spekulasi kerana dia masih memiliki kontrak setahun lagi.

“Masa depan saya masih ada lagi satu tahun bersama Selangor. Saya tidak faham mengenai spekulasi yang dibuat ini.
Saya mahu mengembalikan zaman kegemila­ngan Selangor di mana stadium penuh dengan penonton. Duit tidak boleh beli semua itu,” katanya.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali memberitahu, bahawa masa depan Mehmet bersama Selangor belum diputuskan dan perkara tersebut akan dilakukan selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak.

“Saya akan membincangkan perkara tersebut dengan pengurus pasukan (Amirudin Shari) dan juga Persatuan Bola Sepak Selangor.

“Sudah pasti perkhidmatannya akan dipertimbangkan. Saya tidak mahu membuat kesimpulan atau spekulasi mengenai kedudukan Mehmet. Saya fikir dia telah me­lakukan yang terbaik,” katanya.

Walau apapun yang bakal berlaku pada masa akan datang, Mehmet berhak menikmati detik gemilang yang dipahat Selangor kelmarin apabila dinobat sebagai juara Piala Malaysia sekali lagi sejak kali terakhir melakukannya pada 2005.

Malah, ini adalah Piala Malaysia keempat buat Mehmet bersama Red Giants selepas memenanginya sebagai pemain pada 1995, 1996 dan 1997.

“Akhirnya misi 33 te­lah berjaya direalisasikan selepas 10 tahun peminat Selangor menanti saat ini.
“Saya masih tidak peraya persembahan yang amat baik dipamerkan oleh pemain saya.

“Ini merupakan detik istimewa kepada saya serta ahli keluarga begitu juga dengan pemain serta penyokong, malah ini merupakan hadiah daripada saya kepada Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) yang menyambut hari keputeraan semalam (Jumaat).

“Saya sangat berpuas hati kerana sebelum ini memenangi Piala Malaysia ketika bergelar pemain dan sekarang sebagai jurulatih pula. Saya tidak boleh gambarkan ke­gembiraan saya melalui kata-kata.

“Sebagai pemain kita boleh mengawal permainan di atas padang, namun sebagai jurulatih, walaupun anda telah melakukan segalanya, ia terserah kepada pemain.

“Detik ini sangat hebat tambahan pula semua keluarga saya datang dari Australia,” kata Mehmet.

Ahmad Hazwan Bakri muncul wira Selangor kelmarin selepas menjaringkan kedua-dua gol perlawanan iaitu pada seawal minit keempat dan minit ke-48.-utusan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");