Jenayah

‘Mereka tak pernah gaduh’

Kluang: “Ibu dan ayah tidak pernah bergaduh, malah untuk mendengar mereka bertengkar pun susah apatah lagi sehingga sampai membunuh seperti ini,” kata Koh Ming Yang, anak kedua Sia May Lian, 47, yang dipercayai mati dibunuh suaminya di rumah mereka di Jalan 30, Taman Kluang Barat, di sini, semalam.

Ming Yang, 22, berkata, jam 5.20 pagi semalam, dia yang baru pulang daripada bekerja di restoran di bandar Kluang terkejut apabila menemui ibunya terbaring di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah.

Katanya, bapanya yang berusia 52 tahun turut ditemui tidak sedarkan diri di atas badan ibunya dengan kesan kelar di pergelangan tangan.

“Sebaik membuka pintu rumah saya terkejut melihat ibu dan ayah tidak sedarkan diri. Pada masa sama juga banyak darah mengalir menyebabkan saya bergegas ke rumah kakak untuk bantuan dan menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang, semalam.

Menurutnya, ibu bapanya sering bersama walau ke mana mereka pergi seolah-olah tidak timbul sebarang masalah, malah keakraban mereka bagaikan tidak ada apa mampu memisahkan pasangan itu.

“Apa yang berlaku pagi ini (semalam) adalah sesuatu yang tidak disangka, ia mimpi ngeri kepada kami empat beradik,” katanya.

Sementara itu, jiran mangsa, Hamidi Samsai, 47, berkata, ketika kejadian dia bersiap ke tempat kerja jam 6 pagi dan terkejut mendapati orang ramai memenuhi rumah mangsa serta kehadiran ambulans.

“Pada mulanya saya fikir ada ahli keluarga jiran sakit, tetapi apabila diberitahu seorang daripada mereka mati dibunuh, saya terkejut,” katanya.

Hamidi berkata, lebih tujuh tahun dia mendiami kawasan perumahan itu, namun tidak sekali pun dia mendengar pasangan berkenaan bergaduh atau bertengkar.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa seorang tukang jahit manakala suspek iaitu suaminya bekerja sebagai tukang masak.

Katanya, mangsa ditemui terbaring dan berlumuran darah manakala suspek tertiarap di atas badan wanita itu.

“Suspek ditemui luka di pergelangan tangan dipercayai cuba membunuh diri selepas membunuh isterinya itu. Malah, pisau pemotong daging dan gunting turut ditemui bersebelahan suspek,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");