Berita Hari Ini

Minta beri penjelasan kepada petani

SABAK BERNAM – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani digesa memberi penjelasan kepada pesawah di negara ini berhubung Insentif Peningkatan Hasil (IPH) yang masih belum diterima mereka sejak hampir tiga tahun lalu.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, rata-rata petani khususnya di Sekinchan menagih bayaran IPH sebanyak RM650 setiap satu tan matriks jika mereka mencapai sasaran pengeluaran yang ditetapkan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini bayaran IPH yang dijanjikan kerajaan itu masih tidak diterima pesawah terutama dalam keadaan mereka dihimpit dengan tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Kebanyakan pesawah merungut dan masih menunggu jawapan sama ada IPH diteruskan atau dibatalkan. Kalau dibatalkan apa alasannya? Jika masih diteruskan kenapa bayaran tertangguh begitu lama,” katanya kepada Sinar Harian.

Suee Lim berkata, kerajaan seharusnya membayar IPH tertangguh itu segera kerana ia dianggarkan menelan belanja jutaan ringgit kepada pesawah di seluruh negara ini.

“Biasanya IPH dibayar dalam tempoh setahun setengah iaitu antara dua atau tiga musim. Bayaran masuk terus ke dalam akaun pesawah, tetapi sampai sekarang mereka masih tak terima IPH,” katanya.

Jelasnya, tujuan IPH yang diperkenalkan kerajaan itu amat baik dalam menggalakkan pesawah menggunakan teknik penanaman baik dan canggih bagi meningkatkan hasil pertanian serta pendapatan yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun usaha ini tak bermakna jika hanya dilaksanakan sekerat jalan. Kita minta supaya kementerian beri penjelasan tentang perkara ini supaya nasib pesawah diberi pembelaan yang sewajarnya,” katanya.

Ujar beliau, pihaknya akan menghantar surat kepada kementerian berkaitan dan sentiasa memantau isu itu dengan lebih lanjut agar golongan pesawah yang sentiasa berusaha meningkatkan pengeluaran beras negara dapat dibantu.

“Saya juga minta pesawah tak mengira kaum sama ada Melayu, Cina dan India harus bersatu padu dan mempunyai semangat kesatuan kerana hanya kesatuan inilah petani dapat mempertahankan hak mereka,” katanya.

Ditanya tentang rungutan pesawah tentang kelewatan pembayaran subsidi, Suee Lim menjelaskan masalah itu dapat ditangani kerajaan selepas pesawah mengadakan bantahan beramai-ramai di hadapan kilang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) Sekinchan.

“Subsidi dah selesai cuma IPH masih tiada sebarang jawapan lagi. Kita nak tarik perhatian kerajaan supaya masalah ini juga dapat diselesaikan segera,” katanya.

Sinar Harian pada 12 Disember lalu melaporkan, kira-kira 100 pesawah di Sekinchan dan Sungai Burong, Tanjong Karang berhimpun di hadapan kilang Bernas Sekinchan bagi mendesak kerajaan menyelesaikan dua masalah utama membelenggu pesawah di kawasan itu.

Pesawah di dua kawasan itu menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengambil serius isu kelewatan pembayaran subsidi sejak sebulan lalu dan IPH yang didakwa tertangguh sejak sekian lama.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");