Panasnya Hari Ini

PAU 2015: ‘Itulah yang telah saya lakukan selama ini’ – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa beliau telah menjalankan amanah yang diberikan dengan sempurna selama beliau memegang jawatan tersebut.

Katanya, beliau telah membantu Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menerajui jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum dan pilihanraya kecil menerusi peranannya sebagai Pengarah Pilihanraya.

“Saya juga telah membantu Presiden memastikan kelicinan pengurusan dan pentadbiran UMNO menerusi peranan saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO. Saya juga telah membantu Presiden menangani pelbagai permasalahan parti.

“Begitu juga ketika saya menjawat jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi. Amanah membantu presiden tidak pernah saya abaikan,”ujarnya ketika mengulas ucapan dasar Presiden UMNO yang dimuatnaik di laman Facebook miliknya.

Terdahulu, Najib ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden UMNO berkata, tugas Timbalan Presiden adalah untuk membantu mentadbir parti.

Tambah bekas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, sebagai Timbalan Presiden yang telah dipilih oleh ahli, beliau juga bertanggungjawab kepada parti dan juga ahli-ahlinya.

“Saya banyak mendengar suara akar umbi mengenai pelbagai permasalahan yang berkait dengan kepimpinan parti.

“Maka tanggungjawab saya ialah untuk memberikan nasihat kepada Presiden supaya mendengar suara ahli-ahli parti di akar umbi dan segera memperbetulkan keadaan.

“Sebaliknya, saya disingkir, disisih malah dihalang daripada melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya sebagai Timbalan Presiden,”ujarnya.

Muhyiddin berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2015 adalah tidak sama rata disebabkan beliau tidak dibenarkan berucap secara lazimnya dalam pandangannya ini tidak dapat disampaikan kepada para perwakilan secara terus.

“Saya berharap agar perbahasan yang berlangsung kali ini, termasuk perbahasan mengenai ucapan dasar Presiden, menyentuh perkara-perkara penting yang dapat menarik semula kepercayaan rakyat kepada UMNO.

“Berbahaslah dengan jujur, ikhlas dan benar,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");